Harga RON95 sepatutnya RM1.90 seliter sekarang

Oleh BORHAN AHMAD

Harga minyak Brent crude kini berada dibawah paras AS$46.30 setong sekarang.  Inilah harga minyak di pasaran dunia yang dijadikan sebagai kayu pengukur untuk harga minyak di negara kita.

Kini harga minyak RON95 ialah RM2.05 seliter.  Dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia yang sedang berlaku sekarang, harga RON95 di Malaysia patut turun kepada sekurang-kurangnya RM1.90 seliter.

“Kerajaan kita wajar memberi kita rakyat peluang untuk membeli minyak pada harga yang murah apabila harga di pasaran dunia jatuh.  Barulah ini boleh digelar sebagai kerajaan yang berprihatin.  Lagipun negara kita adalah negara pengeluar minyak,” kata Ramli berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pemandu bas.

Seorang kerani bank, Azizul yang berumur 24 tahun berpendapat apabila kerajaan selalu menguar-uarkan bahawa ekonomi negara adalah kukuh dan stabil, maka harga barang terutamanya harga minyak sepatutnya turun ataupun murah tetapi sebaliknya yang berlaku pula.

Rakan sekerjanya, Michael Tan yang juga berumur dalam lingkungan 20-an bersetuju.

Ujar Michael, “Saya memang tak faham mengapa kalau ekonomi negara kita begitu bagus, kos sara hidup melambung naik dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST – Goods and Services Tax) perlu dilaksanakan pula kerana dengan adanya cukai ini, orang yang miskin dan bergaji rendah pun kena bayar cukai.”

Pada zaman sistem pencukaian yang lama iaitu masa ‘Sales and Service Tax (SST)’, rakyat tidak perlu membayar cukai ke atas semua jenis barang.  Cukai 10% SST dan 6% Cukai Kerajaan hanya perlu dibayar kalau makan di restoran (dan itupun bukan semua restoran) dan untuk penginapan di hotel sahaja.

“Tetapi sekarang membeli barang runcit bahkan membeli mi segera pun kena bayar cukai 6% GST.  Macam manalah orang yang miskin dan yang berpendapatan rendah boleh ‘survive’?  Saya berpendapat bahawa subsidi minyak patut dikekalkan untuk membantu rakyat kerana apabila harga minyak naik, harga barang lain pun turut serta naik juga,” tambah Azizul dengan nada suara yang marah.

Semua 15 orang yang diwawancara di kawasan persekitaran Pasar Seni di KL berharap harga minyak akan diturunkan kepada RM1.80 seliter untuk bulan Disember yang akan datang kerana bulan ini merupakan bulan yang memerlukan banyak perbelanjaan disebabkan oleh keperluan membeli barang persekolahan untuk anak-anak yang sedang bersekolah.

“Juga dalam bulan Disember, kita perlu menyediakan wang untuk membayar Cukai Tanah, Cukai Taksiran, servis kereta selain dari bil-bil bulanan yang biasa dibayar,” kata seorang surirumah bernama Mary Ooi yang berumur 57 tahun.

Justeru itu, harapan rakyat untuk bulan Disember dan Januari ialah harga minyak akan akan diturunkan sebanyak mana yang boleh sebagai satu ‘bonus’ ataupun satu ganjaran dari kerajaan kepada rakyat.

Bukankah cogankata kerajaan 1Malaysia ialah ‘Rakyat Didahulukan’?  Bukankah cogankata ini perlu diamalkan lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi dunia sedang jatuh merudum pada masa kini?