Penggemar durian khususnya dari golongan berpendapatan rendah perlu mengambil peluang untuk membeli raja buah tersebut pada waktu ini.
Hal ini kerana, penawaran di pasaran menampakkan trend penurunan dan pembeli boleh mendapatkannya dengan nilai yang murah.
Dijual pada harga yang berpatutan, trend ini difahamkan berpunca dari lambakan stok durian yang berada di pasaran.
Penjual di sekitar Balok, Beserah dan Jalan Kuantan-Gambang juga didapati menawarkan durian dengan harga yang berbanding musim lalu.
Bayangkan, durian kayangan iaitu musang king kini hanya dijual dengan harga RM20 hingga RM35 sekilogram (mengikut gred) sahaja.
Manakala buah jenis IOI pula boleh didapati dengan harga RM18 hingga RM20 berbanding RM30 hingga RM45 sekilogram pada musim lalu.
Malah, ada peniaga yang menjual secara bakul dan plastik besar bagi semua jenis buah termasuk Musang King pada harga RM50 hingga RM100.
Difahamkan, harga raja buah itu telah menyaksikan penurunan sehingga 20 peratus berbanding musim lalu, lapor Sinar Harian.
Menurut peniaga bernama Adam Haikal Mohd Zulkifli, dia terpaksa menjual dengan harga murah bagi mengelak lambakan dan durian rosak.
“Kami peniaga perlu tawar harga berpatutan. Terus terang saya cakap inilah masa yang sesuai untuk semua golongan termasuk B40 membelinya.
“Harga murah seperti ini bukan selalu, jadi ambil peluang untuk membeli dan merasainya kerana pelbagai jenis durian harganya menurun ketara,” ulasnya.
Baca juga: Kalah pada rupa, menang pada nikmat! Durian isi lebam jadi buruan golongan bangsawan