Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman membuat kejutan untuk isterinya Datin Shahida dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah jenama Mercedes-Benz GLC 300.
Kereta yang dianggarkan bernilai RM400k itu benar-benar memeranjatkan Shahida yang langsung tidak menyangka dia akhirnya dapat memiliki kereta idamannya.
Menurut Shahida, kereta itu dihadiahkan kepadanya kerana dia setiap hari melakukan siaran langsung di media sosial tanpa jemu bagi mempromosikan produk keluaran syarikat mereka.
“Allahu, Alhamdulillah saya bersyukur sangat dapat kereta baru hadiah daripada Aliff. Katanya hasil kerja keras buat ‘live’ setiap hari tanpa jemu.
“Kereta idaman yang saya sudah lama impikan. Agak luas sikit berbanding kereta lama, anak pula makin membesar,” katanya dalam satu hantaran di Instagram miliknya semalam.
Dalam perkongsian tersebut, Shahida turut memuat naik sebuah video memaparkan momen kejutan yang dilakukan oleh Aliff dan pekerja mereka.
Jelas Shahida, dia sebenarnya sudah mengetahui Aliff bakal menghadiahkan kereta baharu tetapi tidak menyangka suaminya itu membuat kejutan penyerahan kenderaan itu di pejabat.
“Sebenarnya saya memang dah tahu nak beli kereta baru sebab dia (suami) selalu tunjuk brochure kepada saya tetapi tidak tahu pula kereta sampai hari ini.
“Alhamdulillah rupanya ada kejutan. Apa juga yang kami beli hari ini sebenarnya hasil titik peluh bersama dengan kerja keras pekerja semua,” ujarnya.
Baca juga: Sementara tunggu gaji suami, wanita kongsi kisah sedih, terpaksa bagi 3 anak makan nasi kosong