Hari OKU Sedunia: Mufti Wilayah Persekutuan saran santuni OKU

Oleh MALAYSIADATELINE

Pihak berwajib diminta menambah baik segala infrastruktur serta kemudahan sedia ada agar lebih mesra Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memudahkan kehidupan harian golongan ini.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Mufti, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri didalam laman Bayan Linasnya dipetik sebagai berkata, antara cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan OKU adalah melibatkan persekitaran dan juga sikap mentaliti sesetengah masyarakat umum.

“Dari aspek persekitaraan, dapat kita lihat kebanyakan insfrastruktur dan kemudahan yang sedia ada masih lagi kurang mesra OKU.

“Golongan OKU tidak dapat mengakses kebanyakan kemudahan yang sedia ada dan ini menyebabkan keterbatasan mereka dalam melakukan aktiviti harian dan bersosial.

“Seharusnya pihak berwajib perlulah menambah baik segala insfrastruktur serta kemudahan sedia ada agar lebih mesra OKU bagi memudahkan kehidupan seharian mereka,” demikian tulisan beliau bersempena sambutan Hari OKU Sedunia hari ini.

Datuk Mufti berkata, mentaliti atau sikap sesetengah masyarakat umum yang menganggap OKU ini sebagai satu bebanan hidup bagi mereka juga menjadikan perjalanan hidup OKU itu sendiri satu cabaran yang perlu mereka atasi.

“Sikap masyarakat umum yang normal ini amatlah tidak wajar. Sebagai seorang muslim yang beriman, mereka akan melihat konteks OKU ini sebagai ladang untuk menuai pahala dengan menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka,” ujarnya.

Beliau berharap dengan adanya sambutan Hari Orang Kurang Upaya ini, ianya dapat memberikan pencerahan serta kesedaran buat masyarakat umum mengenai tanggungjawab bersama terhadap golongan OKU terutamanya di Malaysia.