Harta Tun Daim Zainuddin bernilai RM4.5 bilion di lima negara akan dibeku, ini puncanya

Oleh MALAYSIADATELINE

Aset dan harta dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM4.5 bilion dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, ahli keluarga beserta proksinya dikesan di lima lagi negara.

Difahamkan, aset bernilai tinggi di luar negara yang turut mempunyai kepentingan komersial itu dijangka bakal dibekukan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hal berikutan agensi berkenaan mendapati aset tersebut gagal diisytiharkan oleh Tun Daim di dalam siasatan yang dijalankan mereka terhadap pemimpin politik berkenaan pada 2023, lapor Berita Harian.

Aset dan harta tersebut berjaya dikesan di Amerika Syarikat (AS), Singapura, Jepun, Itali dan Jersey iaitu negara pulau yang terletak di Selat Inggeris serta di luar pantai Normandy, Perancis.

Perkara ini didedahkan sumber yang turut memberitahu bahawa harta dan aset berjaya dikesan SPRM di Amerika Syarikat adalah membabitkan kondominium, bangunan komersial serta akaun bank.

“Di Jepun, aset yang tidak diisytiharkan itu membabitkan hotel, manakala pusat beli-belah terletak di Itali. Aset serta akaun bank juga dikesan di Singapura dan Jersey iaitu negara pulau di Selat Inggeris.

“Semua harta dan aset ini dikesan tidak diisytiharkan kepada SPRM ketika siasatan dijalankan pada 2023. Justeru itu, langkah mengenakan ‘restraining order’ atau perintah larangan akan dipohon dalam tempoh terdekat,” kata sumber memetik laporan Berita Harian.

Perintah larangan itu akan dimohon di mahkamah untuk tindakan selanjutnya dengan bantuan pihak berkuasa di negara terlibat dan perkara ini disahkan Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Menurut sumber lagi, beberapa negara lain yang didapati turut ‘menyimpan’ harta sedemikian selain daripada lima lokasi tersenarai juga akan berhadapan dengan tindakan sama tidak lama lagi.

Langkah memohon perintah larangan dilakukan SPRM ini diambil untuk memastikan tiada sebarang tindakan lain boleh dibuat oleh pihak tertentu terhadap aset yang telah dikenal pasti sementara siasatan terperinci dijalankan oleh agensi berkenaan.

Baca juga: Warga emas 77 tahun temui jodoh pertama kali dengan kenalan zaman sekolah