Hasil tanam pokok pisang, warga emas raih pendapatan lebih RM60,000 semusim!

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka, seorang warga emas yang berusia 73 tahun mampu menjana pendapatan lebih RM60,000 semusim dengan hanya mengusahakan tanaman pokok pisang di Kampung Kuala Balah, Jeli, Kelantan.

Difahamkan, warga emas terbabit iaitu Mat Nawi Mamat telah menanam lebih 2,000 pokok pisang pelbagai jenis termasuklah nangka dan berangan di atas tanah miliknya, sejak lebih 20 tahun lalu.

Bapa enam anak dan kepada 23 cucu itu berkata, pokok pisang ditanamnya boleh dituai di dalam tempoh sekitar enam bulan sebelum hasilnya dijual kepada pemborong di dalam dan luar Kelantan.

Pemilik kebun seluas empat hektar itu memaklumkan bahawa tanaman pisang tersebut dipilih kerana memiliki permintaan pasaran yang tinggi, harganya lebih stabil berbanding tumbuhan lain serta mudah diusahakan.

Menurutnya lagi, kesukaran untuk mendapatkan bekalan ketika menjadi peraih pisang pada sekitar tahun 1980-an telah mendorongnya menanam sendiri tumbuhan tersebut, lapor Berita Harian.

Usaha warga emas itu nampaknya tidak mengkhianati hasil apabila berjaya menjadi pengeluar utama pisang di sekitar Jeli dan beberapa daerah lain di Terengganu meskipun usianya kini sudah senja.

“Aspek penting bagi penanaman pisang ialah sumber air, cahaya dan baja mencukupi untuk memastikan pokoknya membesar dengan baik.

“Kebiasaannya, saya sendiri menghantar bekalan pisang kepada pelanggan menggunakan lori atau kenderaan pacuan empat roda.

“Alhamdulillah, walaupun sudah menjangkau usia emas, saya masih mampu mengusahakan tanaman pisang secara sendirian. Malah pulangan hasil jualan juga berbaloi,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mat Nawi turut mengerah tenaga menggunakan tulang empat keratnya bagi membersihkan kebun dua kali sehari pada waktu pagi dan petang untuk memastikan tanaman pisang miliknya sentiasa dalam keadaan baik.

Warga emas itu juga tidak melepaskan peluang untuk memberikan galakan terutamanya kepada golongan belia supaya mula menceburi bidang pertanian kerana boleh menjana pendapatan yang tinggi.

“Kegiatan berkebun ini juga boleh menyihatkan badan. Justeru, saya menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian yang boleh menjana pendapatan tinggi, selain membantu meningkatkan kemajuan sektor pertanian negara.” Ujarnya.

Baca juga: “Aku jaga aib bekas suami, lepas tuntut fasakh maka terbongkar segalanya, barulah mentua tahu…”