Keputusan seorang pemuda berusia 29 tahun untuk menjadi petani dengan mengusahakan tanaman lada cengek membuahkan hasil apabila mampu menjana pendapatan belasan ribu ringgit setiap bulan.
Difahamkan, pemuda terbabit iaitu Muhammad Ashraff Fahmy Fakhul Aznan adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Namun Ashraff membuat pilihan untuk mengusahakan tanaman lada fertigasi di tanah seluas 0.4 hektar milik keluarganyanya yang terletak di Kampung Kubang Kuau, Rantau Panjang, Kelantan.
Kini hasil daripada penanaman 1,100 pokok lada cengek di ladang miliknya, jumlah kutipan cili yang terkumpul boleh mencecah antara 50 hingga 70 kilogram (kg) sehari untuk satu musim, lapor Berita Harian.
“Sebenarnya, pokok lada mengambil masa dua bulan untuk matang, sebelum hasil cili boleh dipetik dua hingga empat kali seminggu dalam tempoh hampir enam bulan.
“Lada cengek boleh dijual kepada pemborong dengan harga RM10 hingga RM30 sekilogram yang mana harga pasaran berubah-ubah bergantung kepada permintaan, selain persaingan dengan Thailand.
“Selain itu, hasil tanaman ini saya hantar sendiri ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di Kota Bharu dua kali seminggu,” katanya memetik laporan Berita Harian ketika ditemui media di ladang lada cengek miliknya.
Dalam pada itu, Ashraff juga sering kali berkongsi ilmu dengan kumpulan petani di bawah Kijang Rimba yang banyak melakukan perbincangan melalui kumpulan WhatsApp.
Perkara itu dilakukan untuk memantapkan kemahirannya dalam bidang penanaman lada cengek selain menambah ilmu penggunaan formula baja yang boleh menghasilkan tanaman cili berkualiti dan tentunya anti-penyakit.
“Selain risiko pokok dijangkiti penyakit, antara cabaran lain adalah perubahan cuaca yang menyebabkan kualiti lada terjejas jika keadaan panas ekstrem atau menerima taburan hujan tinggi.
“Sekarang saya ada lapan pekerja dalam kalangan penduduk kampung dan kegiatan pertanian ini turut memberi manfaat kepada orang lain,” jelas Muhammad Ashraff.
Pemuda itu mengakui pernah mengalami kegagalan di awal penglibatannya di dalam penghasilan lada cengek apabila tanamannya diserang dengan penyakit Mosaic Virus sehingga menyebabkan kerugian yang besar.
Cabaran yang dihadapi bagaimanapun langsung tidak mematahkan semangat Ashraff sebaliknya pemuda itu terus bangkit dengan mempelajari pelbagai ilmu pertanian sehingga berada di tahap membanggakan.
“Nasihat saya kepada anak muda, jangan memandang bidang pertanian suatu kerjaya ‘kampung’. Kerana tanpa disedari, ia mampu memberi pendapatan lumayan.” Ujarnya.
Baca juga: Terkenal sebab buat mukbang makan ‘makeup’, keluarga akhirnya kongsi khabar duka