Hasrat seorang ibu tunggal untuk ke Tanah Suci sehingga sanggup mengikat perutnya selama 15 tahun dengan mengumpul duit bantuan selain memakan nasi bersama bawang dan air garam nampaknya bakal terkabul tidak lama lagi.
Hal ini berikutan laporan media mengenai pengorbanan wanita berusia 60 tahun berkenaan mendapat perhatian seseorang pempengaruh dikenali sebagai Jalil Razak yang menemukan penaja bagi membantu warga emas itu.
Menerusi hantaran di platform TikTok, Jalil memaklumkan kos perbelanjaan menunaikan umrah bagi warga emas itu bersama lima ahli keluarganya termasuklah dua anak dan cucu Orang Kelainan Upaya (OKU) sudah dilunaskan.
Difahamkan, di antara pihak yang bermurah hati memberi sumbangan kepada keluarga ibu tunggal dikenali sebagai Maimun Sarajul itu adalah beberapa ahli perniagaan dan individu dari Malaysia serta Singapura.
Sekadar info, Maimun Sarajul adalah salah seorang dari 314 jemaah yang terkandas untuk ke Tanah Suci selepas syarikat pengendali umrah gagal menunaikan janji untuk menerbangkan kumpulan itu pada Selasa lalu.
Menurut Jalil, pihaknya akan mengurus keberangkatan keluarga Maimun bersama seorang lagi lelaki OKU dari Pulau Pinang dikenali sebagai Pak Ngah yang sebelum ini tular kerana mahu ke Tanah Suci selepas mendengar ceramah mengenainya di masjid.
”Insya-Allah, kamu semua doakan supaya usaha dilakukan ini selesai dengan jayanya. Keberangkatan tujuh individu ini, kita akan uruskan. Terima kasih kepada penyumbang dan tahniah kepada tujuh orang ini. Saya cuba uruskan satu-satu.
“Insya-Allah, mereka ini akan diterbangkan pada Februari ini bagi bulan Syaaban. Insya-Allah diberi tanggungjawab untuk selesaikan hak ini, saya selesaikan. Alhamdulillah jugalah sebab Allah izinkan saya bertemu orang-orang hebat yang boleh bantu selesaikan kos tujuh individu ini.
“Kamu semua minta doakan mereka selamat dan dengan izin Allah, tapak kaki mereka berjaya berpijak di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Dapat berjumpa Nabi SAW dan menunaikan ibadah umrah,” ujarnya.
Sebelum ini Maimun dilaporkan menyimpan sebahagian dari wang RM400 hingga RM500 iaitu bantuan Baitulmal yang diterimanya setiap bulan sejak tahun 2009 untuk menampung perbelanjaannya ke Mekah.
Maimun kemudian tertarik dengan sebuah pakej umrah selepas menonton iklan yang dipromosikan oleh seorang usahawan kosmetik menerusi platform TikTok di mana kosnya hanya bernilai RM11,000 untuk dua orang.
Terdahulu, seramai 314 jemaah termasuk dari Brunei dan Korea Selatan terkandas selepas penyedia perkhidmatan umrah gagal menyediakan tiket penerbangan, visa dan hotel di Tanah Suci melibatkan kerugian lebih RM2.1 juta.
Baca juga: Ramai tak tahu sekarang dah boleh beli rumah tanpa bayar duit muka, ini caranya