Siapa sangka, drama lakonan Mira Filzah dan Adi Putra telah berjaya mengetuk pintu hati atlet taekwondo Terengganu iaitu Fu Ceen Put Thai untuk memeluk agama Islam, Disember tahun lalu.
Atlet berusia 21 tahun itu mendedahkan, dirinya mula tertarik dengan kehidupan yang ditampilkan pelakon utama drama Cinta Si Wedding Planner itu sebelum mengambil keputusan untuk mendalami Islam.
Bagaimanapun, Fu Ceen atau nama Islamnya Fathurrahman terpaksa merahsiakan tindakannya memeluk Islam daripada pengetahuan ahli keluarganya terlebih dahulu kerana mahu menunggu masa bersesuaian.
Pemenang pingat emas menerusi acara taekwondo dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 itu juga tidak mahu ibunya bersedih dengan keputusan yang diambilnya, lapor Berita Harian.
“Bila ibu mengetahui saya memeluk Islam, sudah pastinya terkejut dan tidak mahu bercakap. Namun, saya bawanya pergi berjalan dan memujuknya secara perlahan-lahan supaya boleh terima.
“Saya memang merancang untuk melakukan sujud syukur jika memenangi emas dan itu mungkin masa bersesuaian memberitahu ibu. Pada peringkat awal ibu tidak boleh terima.
“Kerana mungkin terkilan bahawa dia mengetahui (perkara ini) lambat berbanding individu lain,” kata atlet yang berasal daripada Pasir Mas, Kelantan itu memetik laporan Berita Harian.
Walaupun sudah bergelar saudara baharu, Fu Ceen menegaskan bahawa hubungan dengan ibunya akan tetap kekal utuh kerana di dalam Islam, ibu adalah keutamaan.
Sementara itu, Fu Ceen yang juga merupakan pelajar Politeknik Metro Kuala Lumpur turut mengakui banyak perkara baik berlaku di dalam kehidupannya semenjak memeluk Islam.
“Saya dapat pingat emas di SUKMA, terpilih ke kem pelapis negara selain turut mendapat beberapa lagi kejayaan sejak kebelakangan ini.” Dedah atlet yang mula dikenali ramai sejak rakaman memaparkan dirinya tular di media sosial.
Terdahulu, Fu Ceen dirakam mengibarkan bendera Terengganu di sekeliling gelanggang sebelum melakukan sujud syukur selepas memenangi acara taekwondo dalam kategori lelaki bawah 63 kilogram.
Dalam acara tersebut, Fu Ceen berjaya menewaskan peserta dari Perlis, Muhammad Rafieqqie Danish Md Roshidi dengan mata 13-2 walaupun baru pertama kali beraksi dalam temasya SUKMA.
Tindakan atlet taekwondo Terengganu di hadapan khayalak ramai itu sekali gus mengumumkan dirinya sudah memeluk agama Islam kepada ibu bapanya selepas memenangi pingat emas.
Baca juga: Lepas tersebar spekulasi bercerai, Ira Kazar tenang teruskan kerja jadi model tudung Alif Syukri