HDC mahu tarik pelabur Korea, Jepun sertai industri kosmetik halal

Oleh MALAYSIADATELINE

Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) berharap dapat menarik pelabur Korea Selatan dan Jepun menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk bagi pasaran kosmetik halal.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin berkata ia sejajar kepentingan industri halal yang secara amnya memiliki tarikan tersendiri dengan nilai pelaburan ke Malaysia berjumlah RM10.6 bilion pada tahun lepas iaitu pelaburan langsung asing sebanyak RM5.6 bilion dan RM5 bilion bagi pelaburan domestik.

“Jepun dan Korea adalah dua penggiat utama dalam industri kosmetik serta penjagaan diri.

“Memandangkan industri halal ini memiliki potensi yang amat besar, saya percaya kalangan penggiat utama ini tidak mungkin dapat menolak (kepentingan) pasaran Muslim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Forum Kosmetik Halal dan Penjagaan Diri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lee Chee Leong.

Mengulas perancangan masa depan, Jamil berkata HDC berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak persidangan halal mengikut sektor bagi membolehkan para penggiat dan pihak berkepentingan memahami perkara yang boleh dielak serta diamalkan dalam bidang berkenaan.

Beliau turut mengunjurkan, nilai eksport produk kosmetik dan penjagaan diri halal juga mungkin mencatat peningkatan kecil tahun ini berbanding RM2.3 bilion pada tahun lepas berikutan persekitaran ekonomi semasa.

Lebih 30 peratus produk kosmetik dan penjagaan diri halal Malaysia dieksport ke Emiriyah Arab Bersatu manakala pasaran utama lain adalah Turki, Singapura dan Filipina.