Henti ambil pekerja Bangladesh demi produktiviti bakal graduan, kata Pemuda Amanah

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahmad Fadhli Umar AminolhudaPemuda Amanah Nasional mendesak kerajaan dapat menangani lambakan pekerja asing membabitkan pekerja dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Vietnam mahupun apa saja warga asing di negara ini.

Exco Pemudanya, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda berkata,Persatuan Pekerja Malaysia (MEF) membuat satu jangkaan berdasarkan trend tahun lepas bahawa tahun 2016 merupakan tahun mencabar buat para graduan dalam mencari kerja.

Justeru katanya, dengan pengumuman kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh, Amanah berpendapat ia adalah satu tindakan yang tidak patut dibuat oleh kerajaan demi kepentingan anak muda khususnya mahasiswa bakal bergraduasi.

“Kami dengan ini mendesak supaya beberapa perkara dapat dilakukan oleh kerajaan antara cadangan kami ialah kerajaan mengehadkan jenis pekerjaan yang boleh diberikan kepada warga asing hanya pada sektor industri berat dan pertukangan seperti pembinaan bangunan dan sektor buruh serta pembantu rumah sahaja.

“Mengenakan tindakan pada majikan yang mengambil pekerja asing dalam industri makanan dan restoran seperti “fast food”, stesen-stesen minyak dan lain-lain yang mana industri-industri ini masih lagi boleh diramaikan oleh pekerja-pekerja tempatan.

“Mendesak pihak imigresen untuk lebih peka dengan segala tindakan dan aktiviti pendatang asing supaya segala masalah sosial tidak terjebak akibat lambakan pendatang asing ke dalam negara,” sarannya.

Ahmad Fadhli yang juga Pengarah Biro Mahasiswa Amanah berkata,isu pendatang asing perlu dibincangkan secara mendalam dan terperinci kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan sektor pekerjaan bahkan ia boleh mengubah corak demografi negara Malaysia.

“Kami juga ingin melahirkan kerisauan sekitanya kedatangan pendatang asing ini disalahguna oleh pihak berkepentingan menjelang Pilihan Raya Sarawak yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Adakah kerajaan lupa bahawa lebih 200,000 graduan dan anak muda masih gagal mendapat kerja? Adakah kerajaan juga lupa bahawa dalam Penstrukturan Semula Belanjawan 2016 baru-baru ini kerajaan mengumumkan akan memberikan permit semula pada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang pernah ditahan?,” soalnya yang mahukan rakyat Malaysia membantah kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh dan menghentikan kebanjiran pendatang asing di negara ini.