Henti polemik keputusan KPM guna novel Pantai Kasih

Oleh MALAYSIADATELINE

Semua pihak perlu berhenti mempolemikkan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  meneruskan penggunaan novel Pantai Kasih kerana keputusan itu dibuat secara profesional, kata   Datuk Ahmad Tajudin Jab, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan).

Beliau berkata, pada prinsipnya buku-buku yang dipilih kementerian bagi digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran telah melalui satu panel pakar dalam bidang tertentu untuk dinilai.

“Berdasarkan perbincangan mereka secara panjang lebar secara keseluruhannya buku itu sesuai untuk pelajar peringkat umur itu, jadi ibu bapa tak perlu risau. Kita jangan buat petikan-petikan buku, kita kena lihat buku itu secara keseluruhan.

“Kita perlu nilai ilmu secara keseluruhan dan nilai positif, polemik itu perlu dihentikan kerana kami lakukannya secara profesional,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pelaporan Status Pelaksanaan Transformasi Pendidikan Sekolah-Sekolah Kodiang di Kodiang, dekat sini hari ini.

Jumaat lalu, Kementerian Pendidikan memutuskan Novel ‘Pantai Kasih’ akan terus digunakan sebagai komponen sastera (Komsas) dalam pengajaran dan pembelajaran pelajar Tingkatan Empat di Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Novel berkenaan hangat dibincang dan diviralkan di media sosial kerana didakwa terpalit dengan unsur lucah dan menonjolkan hubungan negatif antara doktor dan jururawat.