Hentikan terus perlombongan bauksit selepas ditangguh, saran Fuziah

Oleh BORHAN AHMAD

Fuziah Salleh meragui kemampuan kerajaan negeri Pahang menyelesaikan isu perlombongan bauksit.

Desakan Gabungan Badan Bertindak Mencegah Pencemaran Bauksit agar kerajaan negeri mematuhi garis piawaian antarabangsa selepas tempoh moratorium tamat ada kewajarannya seperti disaran Pengerusinya, Fauziah Salleh sebelum ini.

Aktiviti perlombongan bauksit itu tidak boleh diteruskan kerajaan negeri selepas moratorium tamat selagi piawaian antarabangsa itu tidak dipraktis oleh pihak yang terbabit secara langsung dalam industri perlombongan bauksit.

Fuziah mengulangi desakan ini setelah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam kenyataannya di akhbar News Straits Time pada Isnin mendedahkan, kegagalan kerajaan negeri membendung pelombong haram ekoran pegawai penguatkuasa hanya berjumlah 18 orang di bawah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menyukarkan penguatkuasaan dilakukan.

“Ini indikator yang jelas menunjukkan bahawa kita tidak boleh meneruskan perlombongan ini selepas moratorium. Lebih elok menghentikan terus perlombongan bauksit setelah tempoh moratorium tamat selepas tiga bulan.

“Negeri Pahang tiada kawalan sebelum ini dan sah tidak mampu mengawal industri perlombongan selepas ini.

“Satu PTG pun MB (menteri besar) tidak boleh kawal dan pegawainya pula terlibat dengan skandal rasuah yang serius,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, gabungan itu sudah pun menyediakan garis panduan berkaitan rangka kerja untuk perlombongan bauksit mampan ini termasuklah penyediaan panduan ‘International Best Practise’ mengikut piawaian antarabangsa.

“Kita tidak mahu hadapi risiko kerana beliau mengakui tidak boleh urus PTG dan rasuah pula berleluasa. Beliau juga gagal ambil tindakan terhadap pelombong haram.

“Semua itu mencerminkan kegagalan kerajaan negeri selama ini.

“Tetapi kalau MB dah mengaku tak boleh nak urus, bagaimana?

“Adakah beliau juga boleh menguruskan agensi lain yang dakwanya di bawah kuasa kerajaan persekutuan untuk membantu kerajaan negeri?” soal Fuziah.

Adnan turut dipetik sebagai berkata, keenganan beliau meminta bantuan kerajaan persekutuan dari awal kerana mahu kerajaan negeri menyelesaikan isu itu sendirian tetapi masalah itu dakwanya menjadi ‘semakin besar’ kerana pemain industri mengabaikan nasihat kerajaan negeri dan penguatkuasaan sedia ada kurang berkesan.

Menurut Fuziah lagi secara peribadi beliau tidak menyakini Menteri Besar dapat melaksanakan piawaian itu yang pastinya akan menambah buruk lagi sistem sedia ada.

“Kerajaan negeri dan persekutuan perlu mengkaji semula sepenuhnya perlombongan bauksit di negeri ini selepas moratorium,” tegasnya.

Pada 6 Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberkas dua kakitangan PTG Pahang kerana disyakki terbabit menerima rasuah.

Pada 13 Januari, kedua tertuduh tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan menerima wang tunai RM30,000 daripada seorang pelombong haram bauksit.

Manakala Gabungan Badan Bertindak Mencegah Pencemaran Bauksit pula sedang menyiapkan garis panduan amalan terpuji antarabangsa (International Best Practise) dalam memastikan perlombongan bauksit tidak dimulakan semula, melainkan syarat-syarat piawaian itu dipatuhi oleh pihak yang terlibat dalam industri perlombangan bauksit.

Dimaklumkan garis panduan International Best Practise ini merangkumi aspek prosedur melombong, mengangkut tanah bauksit, mencuci tanah bauksit, stockpile dan juga prosedur mengekspot.