Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Nor hidayah Mohd Ali tidak bersetuju sekiranya Ali Puteh ingin membayar RM60,000 yang ditetapkan mahkamah, secara ansuran.
Ia susulan laporan media yang memaklumkan bahawa Ali akan menjelaskan bayaran RM60,000 kepada Hidayah secara ansuran, dan proses pembayaran itu masih dalam perbincangan membabitkan peguamnya dan peguam Hidayah.
Dalam respon kepada Harian Metro semalam, Hidayah bagaimanapun bertegas agar bayaran tersebut dijelaskan pada kadar segera kerana tempoh masa yang agak lama sudah diberikan kepada pihak di sana.
Kata Hidayah, dia tidak mahu ada perkara berbangkit berkait dia dan Ali Puteh selepas ini kerana kini dia ingin fokus dengan kehidupan bersama anak, Syed Uthman Hamzah serta perniagaannya.
“Saya tidak bersetuju dengan bayaran secara ansuran kerana perkara ini sudah diberi tempoh masa yang agak lama serta peguam saya juga memberi notis selama 21 hari untuk memberi kerjasama, tetapi pihak sana (Ali) tidak memberi sebarang jawapan.
“Dengan ini, saya menegaskan untuk pihak sana segerakan bayaran tanpa sebarang ansuran kerana saya tidak mahu ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku agar tidak ada perkara berbangkit kerana hal ini adalah perintah mahkamah yang jelas,” katanya memetik Harian Metro.
Hidayah juga memberi peringatan akan mengambil tindakan tegas jika pihak Ali Puteh masih melengah-lengahkan bayaran yang diarahkan mahkamah.
“Saya ingin fokus dengan kehidupan saya dan Hamzah (anak) serta bisnes saya.
“Jadi, saya minta permudahkan urusan saya dan bayar dalam kadar segera kerana saya telah beri ruang dan tempoh masa yang agak lama sebelum ini. Hal ini akan diketengahkan dengan tindakan segera jika pihak sana masih melengah-lengahkan dan tidak memberi kerjasama,” katanya.
Ditanya juga sama ada peguam daripada pihaknya sudah dimaklumkan yang Ali mahu membayar secara ansuran, Hidayah berkata peguamnya tidak menerima sebarang surat seperti mana yang diwar-warkan oleh pihak sana.
Baca juga: Gigih cari duit kahwin, abang Grab terkejut dapat tip RM500