Penampilan terbaru pelakon, Zarina Anjoulie dengan bentuk hidung baharu menjadi bualan pengguna media sosial.
Bercakap kepada media, pelakon cantik berusia 37 tahun itu bersikap terbuka dan jujur mengakui dia membuat pembedahan plastik di bahagian hidung kerana mendapat tajaan dan diminta mempromosikan prosedur itu di media sosial.
Namun katanya, selepas beberapa waktu dia terasa penampilan baru itu seperti bukan dirinya sendiri dan nekad untuk mengeluarkan implan tersebut hujung tahun ini.
Dia juga sebenarnya amat gembira dengan hidung asal yang dimilikinya namun dia tetap melakukan pembedahan tersebut kerana itu adalah tugasnya kerana dia sudah dibayar.
“Sebenarnya, saya gembira dengan hidung sedia ada tetapi saya lakukan prosedur itu sebab dibayar. Lagi pun, perempuan memang tidak pernah puas dengan apa yang dia ada.
“Saya juga berasa ia bukan diri saya yang sebenar selepas prosedur hidung itu dan mungkin saya akan keluarkan implan di hidung saya ini pada hujung tahun nanti,” katanya.
Zarina berkata, dia mahu menggunakan platform sebagai pempengaruh untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya berjumpa dengan doktor yang betul bagi melakukan prosedur sedemikian.
“Ya, saya baru buat hidung dan tiada apa yang saya nak sorok.
“Saya dibayar untuk melakukan prosedur itu dan sudah menjadi tugas untuk saya buat video mengenainya di media sosial
“Saya hanya mahu kongsi pengalaman menjalani prosedur pembedahan plastik di luar negara itu kepada orang ramai.
“Saya tak kisah dengan kecaman kerana orang akan kecam kalau artis itu tidak mengaku. Bila saya mengaku buat hidung pun orang tetap kecam juga,” katanya lagi sambil memohon maaf jika ada pihak yang tidak senang dengannya.
Baca juga: Risau isteri ‘bernafsu jin’ mengamuk, suami nekad fail cerai diam-diam – “Dia dan abang ipar..”