Hilang dari radar 2 tahun lalu, Ismail Izzani pilih luangkan masa dengan keluarga

Oleh MAISARAH AISYA

Bagi artis yang memulakan karier seni sejak bangku sekolah pastinya mahu meluangkan masa bersama keluarga.

Biasalah jadual semasa aktif padat dengan pekerjaan hingga terlupa bertanya khabar sesama keluarga dan akhirnya semakin menjauh.

Buat penyanyi Ismail Izzani yang lama tidak kedengaran namanya dalam industri seni berkongsi mengapa dia hilang dari radar lapor Berita Harian.

Sudah berada dalam industri seni sejak usia 17 tahun, penyanyi berusia 24 tahun itu mengakui rindu momen bersama keluarag selepas memilih untuk tinggal berasingan.

“Saya mula menyanyi pada usia antara 16 atau 17 tahun. Ketika itu, saya pilih untuk tinggal sendirian kerana saya buat studio di rumah.

“Keluarga kami tidak besar, namun, kehadiran anak saudara membuatkan saya ingin meluangkan lebih banyak waktu bersama keluarga,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Pada masa sama, dia juga meluangkan masa dengan mencari bahan lebih segar untuk kembali semua ke dunia seni.

Meskipun mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif untul single terbaru ‘Iman’, bagi Ismail sebolehnya dia mahu mencuba pelbagai genre dan tidak terikat pada satu sahaja.

“Saya tahu ada komen peminat kecewa dengan lagu itu. Ada yang persoal kenapa keluar lagu macam ini, saya terima teguran mereka.

“Saya tandatangani kontrak dengan Def Jam kerana saya suka karya mereka yang di luar kotak.

“Lagipun, saya tidak mahu terlalu selesa. Takkanlah sampai usia akhir 30-an masih lagi menyanyikan lagu pop, R&B atau dance sahaja,” katanya.

Lagu Iman dicipta oleh Joe Flizzow, satu lagu yang berentak afrobeats, sememangnya lain daripada muzik yang dikeluarkan Ismail sebelum ini.

Baca juga: Keith Foo rupanya suka dengar ‘khutbah’, Riena Diana ada sebab sendiri enggan paksa kekasih dalami Islam