Hilang dompet dua minggu, RM2 jadi petunjuk paling tak disangka

Oleh MAISARAH AISYA

Kebiasaannya, kehilangan dompet pasti membuatkan ramai panik, apatah lagi apabila melibatkan kad debit dan dokumen penting, sehingga sanggup mencari ke setiap pelosok rumah.

Namun situasi itu berbeza bagi seorang pengguna Threads dikenali sebagai @johan.thehutt.

Pada awalnya Johan menyangka kad debit miliknya sekadar tersalah letak, tanpa menyedari dompet berkenaan sebenarnya sudah hilang.

“Cerita pendek ringkas, saya hilang dompet hampir dua minggu dan pada awalnya ingat mungkin tersalah letak ia di dalam rumah.

“Tak pernah betul-betul cari ia (dompet) sebab yakin ada dekat rumah dan baru-baru ini sahaja mula mencari tapi tetap tak jumpa,” kongsinya di Threads.

Johan kemudian menyedari terdapat transaksi menggunakan kad debit miliknya, namun jumlah yang tertera hanyalah RM2.

“Tiba-tiba ada transaski dibuat di kedai serbaneka dan saya memang tidak berada berdekatan kedai berkenaan.

“Masa tu terfikir takkan lah orang nak guna card kemudian curi RM1 dalam dua transaksi berbeza. Jadi mungkin itu cara pekerja nak maklumkan mengenai kad debit,” kongsinya.

Tanpa berlengah, dia terus bergegas ke kedai serbaneka berkenaan untuk mendapatkan kepastian.

Di situlah segala persoalan terjawab apabila pekerja kedai memaklumkan bahawa dompet tersebut sebenarnya telah disimpan dengan baik oleh mereka sejak hampir dua minggu

“Rupa-rupanya ini yang terjadi, dua pekerja ni simpan dompet dalam hampir dua minggu hingga hari ini. Syabas kepada mereka atas kejujuran dan integriti,” ujarnya.

Baca juga: Lagu Siti Nurhaliza pernah dipuji Raja Charles, dan ini 9 kejayaan lain yang patut Gen Z tahu