Gara-gara sindiran dari insan dipanggil kakak, seorang wanita nekad tidak mahu lagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga di perayaan akan datang.
Insiden tersebut bermula apabila wanita yang dikenali sebagai Dira memberikan duit raya berjumlah RM10 setiap seorang kepada 10 orang anak saudara kandungnya.
Bukannya bersyukur, kakak-kakak kepada Dira malah menyindir kerana adik mereka tidak mampu meneruskan ‘tradisi keluarga’ iaitu memberikan duit raya bernilai RM50.
Tidak mampu lagi memujuk dirinya sendiri, berikut perkongsian Dira yang nekad ingin berpindah keluar dari rumah keluarga sebaik sahaja ibunya meninggal dunia kelak.
“Aku seram bila tiba Hari Raya. Sebabnya, aku perlu berikan duit raya bernilai RM50 seorang kepada setiap anak-anak buah. Bayangkan anak buah ada 10 orang. Bukan nak berkira, tetapi gaji cukup-cukup makan sahaja. Duit raya RM50 ini macam tradisi keluarga sebab semasa aku kecil, kakak sulung aku berjaya kerja hebat.
“Jadinya, kakak sulung aku mulakan tradisi duit raya RM50 ini dan menurun sehingga aku yang bongsu ini. Semua kakak-kakak aku sudah kahwin dan memiliki anak. Aku seorang sahaja yang masih bujang. Biasalah, orang bujang dianggap tiada komitmen dan makan pasir sahaja.
“Baju pula hanya dikutip di pokok, minum pakai air sungai, semua bil rumah dibayar menggunakan daun dan sebagainya. Pernah sekali tahun itu, aku berikan duit RM10 kepada anak-anak buah. Sampai raya seterusnyalah aku kena sindir dan ‘dibahan’. Setiap kali aku berbelanjalah.
“Aku beli baju, makanan, kasut kerja, baju dan seluar dalam bahkan servis kereta pun mereka ungkit mengenai duit raya anak-anak buah. Tidak cukup dengan itu, mereka mengungkit zaman kecil-kecil ketika aku menerima duit raya RM50 daripada mereka. Adik-beradik jauh lebih tua, jarak umur mereka 20 ke 25 tahun dengan aku.
“Kakak-kakak aku duduk negeri lain-lain semuanya. Tetapi setiap kali aku berbelanja, mereka akan tahu sebab mak. Aku duduk serumah dengan mak, dialah yang tukang cerita. Bukannya tak halang, aku cuba tetapi mak sekarang dalam keadaan kadang-kadang nazak, sakit. Selepas itu, sihat. Kemudian sakit semula.
“Doktor cakap sakit tua dan ada nyanyuk sedikit. Aku pesan jangan ceritakan semua benda dekat kakak-kakak. Esoknya kakak mesti telefon tanya sebab mak sudah lupa apa yang aku pesan. Mereka mungkin ingat aku duduk rumah mak percuma sahaja. Padahal aku yang bayar bil Astro sebab mak berkeras nak pasang.
“Bil internet, air, elektrik, cukai, kos penyelenggaraan rumah, makanan serta semua perbelanjaan untuk kediaman ini semua aku yang tanggung. Aku tak berkira dengan mak, cuma sedih apabila bab duit raya itu jadi bahan sindiran. Sedangkan setiap kali bayar bil rumah, aku letak resit dalam aplikasi perbualan kumpulan keluarga.
“Tujuannya untuk rekod, senang cari. Tetapi semua kakak buat-buat buta dan masih anggap aku bujang serta tiada komitmen. Ada juga yang kata kalau bujang pun tiada duit, apatah lagi jika berkahwin nanti. Jadi apa masalahnya? Bukan tugas aku beri duit raya lebih dekat anak buah sebab ibu bapa mereka kekurangan wang.
“Aku juga tak pernah minta duit raya RM50 masa kecil dahulu. Mereka yang nak beri dengan rela sambil bermegah dapat kerja elok. Aku tumpang gembira sahaja zaman itu. Mungkin ini raya terakhir aku dengan keluarga ini. Mak aku juga nampak sudah nazak sedikit (maaf mak). Selepas mak tiada, aku nak keluar rumah.
“Aku tidak mahu berjumpa dengan kakak-kakak dan keluarga mereka lagi. Aku jenis terasa gila kalau kena bahan dengan keluarga sebab rasa sayang kepada mereka. Bab mengungkit duit raya zaman kecil ini memang aku terasa sakit sangat. Tak kisah orang luar cakap apa, tetapi aku sakit sangat-sangat dibahan keluarga sendiri.
“Aku juga tak mampu nak melawan pun. Terus hilang keterujaan perayaan Aidilfitri,” Kongsi Dira (bukan nama sebenar) meluahkan kekecewaan dialaminya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas talian tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.
Baca juga: Terkejut ditegur pramugari sebab duduk di ‘kelas ekonomi’, Fasha Sandha luah rasa kecewa