Hina Siti: Wanita Amanah mahu Jamal mohon maaf

Oleh HAZAYANI ZAKARIA

Angkatan wanita Amanah negara (Awan) negeri Melaka kesal dengan kenyataan biadab ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos yang menyerang penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dengan mengeluarkan kenyataan seksis.

Ketua Awan Melaka, Mahani Othman Bashir dalam satu kenyataannya berkata penghinaan yang dikeluarkan Jamal itu jelas biadab dan celupar kerana anugerah cahaya mata adalah kurniaan Allah dan bukannya kuasa manusia.

“Setiap wanita sudah tentu ada naluri keibuan dan mahukan zuriat keturunan, tetapi itu semua adalah ketetapan dan rezeki dari Allah.

“Jamal langsung tidak sensitif dengan kaum wanita dan ia menggambarkan kecelaruan jiwa dan pemikirannya.

“Apakah Jamal tidak sedar di sana beliau mempunyai ibu, isteri, adik beradik dan anak-anak serta saudara mara yang juga wanita,” kata

Mahani.

Awan Melaka yakin ramai wanita turut rasa terhina apabila beliau menyindir Siti  ‘kurang subur’.

Awan Melaka mendesak Jamal memohon maaf kepada seluruh wanita di Malaysia khususnya Siti Nurhaliza serta berjanji tidak akanmengulanginya lagi.

Kelmarin, Jamal mengeluarkan kenyataan selepas kiriman laman sosial Siti  yang mengkritik Jamal kerana melakukan ‘protes tuala’ di Shah Alam.

“Pesanan saya kepada Siti. Jaga air sendiri yang tidak berapa subur itu, atau cari air lain,” kata Jamal.

Terdahulu, Siti telah memuat naik gambar di laman Instagram berkenaan tindakan Jamal pergi ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor dengan hanya bertuala bagi membantah gangguan air.

“Jangan jadi macam Jamal ye.. #kawasansayapuntakdeair #dapatnotis #sediatongair #fahambahasa #Repost @yasinsulaiman

“Jamal dah 4 hari tak mandi. Minta jasa baik MB tumpang mandi kat opis SUK #lol,” tulis Siti.