Lim Lip Eng (DAP-Segambut) terlepas daripada hukuman penggantungan selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat susulan tindakannya menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Ini berlaku selepas kerajaan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said bersetuju untuk menarik balik usul menggantung Lim yang membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam Dewan Rakyat hari ini.
Azalina sebelum itu mengemukakan usul tersebut dan Lim kemudian bangun bagi menyatakan kesediaannya untuk membuat permohonan maaf.
“Saya bersedia menarik balik perkataan kesat terhadap Speaker,” kata Lim pada mesyuarat itu yang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Azalina kemudian menyatakan beliau telah dimaklumkan bahawa Pandikar Amin bersedia menerima permohonan maaf Lim.
Kiandee kemudian bertanya kepada Azalina sama ada kerajaan bersedia menarik balik usul itu memandangkan Lim sudah memohon maaf.
Azalina berkata kerajaan memutuskan untuk menarik balik usul berkenaan selepas dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat tiada masalah menerima permohonan maaf itu.
“Namun, Ahli Yang Berhormat patut memohon maaf secara peribadi terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya.
Terdahulu, ketika membentangkan usul penggantungan itu, Azalina berkata Lim mempersoal kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat, mengeluarkan kenyataan menghina Pandikar.
Katanya anggota Parlimen Segambut itu juga mempertikai dan memperlekeh keputusan Pandikar berhubung pertanyaan serta usul berkaitan tindakan sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat mengenai isu subjudis pada 23 Oktober lalu.
“Ahli Yang Berhormat Segambut juga mengeluarkan kenyataan pada 7 April lalu mendakwa Yang Dipertua gagal dalam usaha menambah baik Parlimen serta meminta Pandikar meletakkan jawatan.
“Perbuatan dan kenyataan yang dibuat Yang Berhormat Segambut adalah penghinaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat sebagai Pengerusi Dewan dan bererti menghina Dewan Rakyat yang turut mencemarkan nama baik dan prestij Dewan Rakyat,” katanya.
Dalam sidang media di lobi Parlimen, Lim berkata beliau menarik balik kata biadapnya terhadap Pandikar kerana mahu terus berada di dalam Dewan Rakyat dan enggan digantung selama enam bulan.
“Alasan saya mahu berada di dalam dewan. Tidak mahu berada di luar dewan. Itu sebab saya tarik balik perkataan tidak baik yang saya guna untuk Speaker.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Speaker,” kata Lim yang tidak menjawab ketika ditanya sama ada beliau akan meminta maaf secara peribadi kepada Pandikar Amin.