Hishammuddin nafi kritikan A.Kadir Jasin terhadap Najib

Oleh MALAYSIADATELINE

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang pemimpin yang amat tenang dan berani dalam menghadapi apa jua isu serta cabaran semasa.

Beliau berkata demikian, ketika diminta memberikan komen balas terhadap kritikan yang dibuat oleh bekas Ketua Pengarang News Straits Times, Datuk A.Kadir Jasin dalam blognya.

Hishamuddin berkata,  Perdana Menteri tidak takut dengan sesiapa kerana beliau sangat tenang dalam mengendalikan apa jua keadaan.

“Malah kita lihat pemimpin Syria dan Libya gagal untuk mempertahankan negara mereka, sebaliknya negara kita masih kukuh dan mampu bertahan di bawah kepimpinan Perdana Menteri,” katanya,dipetik Bernama, selepas beliau merasmikan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) di Petaling Jaya malam tadi.

Wartawan veteran itu  didalam blognya ‘The Scribe A Kadir Jasin’  semalam, menyebut dalam tempoh beliau mengenali dua pemimpin utama Umno Najib (1977) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (1980-an), realitinya, Najib tidak pernah berani atau tegas.

“Dalam tempoh itu, saya tidak pernah melihat Mohd Najib setakut sekarang dan Muhyiddin begitu ditakuti.

“Beliau (Najib) naik kerana licik main selamat sambil dipimpin dan dilindungi oleh mentor-mentornya – Allahyarham Tun Hussein Onn,Tun Dr. Mahathir Mohamed,Tengku Razeleigh Hamzah dan secara pseudo Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.