Rakyat Malaysia baru-baru ini digemparkan dengan kes kehilangan sepasang bayi kembar yang didakwa dilarikan oleh seorang doktor palsu ketika dirawat di Hospital Kuala Lipis, Pahang.
Dakwaan yang hangat diperkatakan di media sosial itu bagaimanapun dinafikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Sabtu dikongsikan di platform Facebook.
JKNP menjelaskan bahawa hasil siasatan awal pihaknya mendapati tiada bayi kembar yang menerima rawatan selama sembilan bulan di wad kanak-kanak hospital itu seperti mana didakwa dalam hantaran tular sebelum ini.
Malah kewujudan seorang pegawai perubatan bernama Dr Amalina Husna yang dikatakan bertugas di hospital tersebut dan diberikan tanggungjawab untuk merawat bayi kembar itu juga tiada di dalam rekod.
“JKNP memandang serius berhubung laporan kes tular di media sosial yang bertajuk ‘Sepasang Bayi Kembar Hilang Dilarikan oleh Doktor Palsu di Hospital Kuala Lipis’. Siasatan awal telah dilaksanakan.
“(Hasil siasatan) mendapati tiada bayi kembar seperti yang didakwa telah menerima rawatan selama sembilan bulan di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis. Kali terakhir ibu berkenaan menerima rawatan di hospital ini adalah pada Julai 2024.
“Manakala bagi dakwaan wujudnya doktor palsu yang bernama Dr. Amalina Husna yang merawat ‘bayi’ selama sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis pula, didapati tiada rekod bagi kewujudan doktor tersebut pernah bertugas di hospital ini,” katanya.
Sehubungan dengan itu, pihak Pengurusan Tertinggi Hospital Kuala Lipis telah tampil membuat laporan polis untuk mengelakkan sebarang berita yang tidak berasas disebarkan dengan sewenang-wenangnya.
Pihak JKNP juga mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat jika mereka masih belum pasti mengenai kesahihan sesuatu dakwaan itu.
“Perkara ini boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti pengurusan dan perawatan di Hospital Kuala Lipis serta JKNP khususnya.” Tegas jabatan tersebut dengan harapan orang ramai dapat mengambil pengajaran berhubung kejadian ini.
Terdahulu, tular satu perkongsian di platform Facebook semalam tentang kehilangan sepasang bayi kembar yang didakwa dilarikan oleh ‘Doktor Palsu’ bernama Dr Amalina Husna selepas dirawat selama sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis.
Meskipun orang ramai menggesa kes itu segera disiasat, rasa sangsi berhubung kesahihan kejadian tersebut mula timbul apabila pengguna media sosial mendapati foto bayi kembar berkenaan tidak tulen sebaliknya mungkin diambil dari platform Youtube atau Pinterest.
Individu yang memuat naik hantaran mengenai dakwaan kehilangan anak kembarnya juga bertindak memadam perkongsian tersebut selepas mendapat perhatian ramai dengan alasan enggan mengganggu siasatan polis.
Baca juga: “Lain macam hadiah tahun ni” – Noorkhiriah dapat set kain kafan daripada suami