Hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand terutama yang melibatkan sempadan membolehkan kedua-dua negara bertukar-tukar maklumat di samping dapat membendung gejala rasuah.
Gejala rasuah di sempadan yang turut melibatkan aktiviti penyeludupan diberi perhatian oleh kedua-dua pihak berkuasa sebagai usaha bagi membendung kegiatan itu dari terus menular.
Pengarah Bahagian Perisikan, Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata jalinan kerjasama antara SPRM dan The National Anti-Corruption Commission (NACC), Thailand membolehkan kedua-dua agensi ini bertukar maklumat melibatkan operasi dan kegiatan yang berlaku di sempadan.
“Kita (SPRM) akan kenakan tindakan tegas mengikut undang-undang bukan sahaja kepada rakyat tempatan yang melibatkan diri dalam kegiatan rasuah, malah rakyat dari negara jiran (Thailand) juga boleh dikenakan tindakan yang sama.
“Tindakan yang sama iaitu hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan (Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran papan info SPRM di Pos Imigresen Wang Kelian dan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof.
Pelancaran itu turut melibatkan NACC, Thailand yang melancarkan papan info di Pos Pemeriksaan Imigresen Khuandon, Imigresen Satun di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Gabenor Wilayah Satun, Piyawat Khurapool berkata pihaknya menyambut baik hubungan kerjasama yang dijalinkan antara Malaysia dan Thailand.
Beliau berkata, Kerajaan Thailand juga akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana individu yang melakukan kegiatan rasuah sama ada melibatkan pegawai kerajaan atau orang awam.
“Kita (kerajaan) telah menguar-uarkan pendidikan mengenai rasuah kerana hukuman berat yang akan dikenakan. Justeru, papan info ini sebagai peringatan kepada semua pihak di samping kita boleh bekerjasama bertukar maklumat antara kedua-dua negara,” katanya menerusi seorang penterjemah yang juga pegawai SPRM Perlis, E.Mey Boon Him.
— BERNAMA