Ibu bapa sebolehnya mahu sentiasa tahu akan perkembangan anak walaupun mereka sudah dewasa.
Begitu juga dengan pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam, meskipun sudah tidak berhubung dengan anaknya Syamsul Yusof, dia tetap prihatin akan isu melanda.
Walaupun sudah terputus hubungan, dia dan isteri, Datin Patimah Ismail masih mengambil tahu hal Syamsul menerusi media sosial lapor Kosmo! Online.
“Mustahil tidak tahu, sekarang ini telefon sentiasa di tangan, jadi mestilah kami baca setiap perkembangan berkaitan Syamsul.
“Ada juga rasa kasihan melihat dia perlu hadir ke mahkamah. Tetapi bagaimana nak beri sokongan sebab hubungan kami tak baik. Apakan daya hubungan telah terputus.
“Kami hanya mampu doa yang terbaik buat Syamsul dan semoga dia kuat berdepan cabaran kali ini. Semoga apa yang berlaku dijadikan satu pengajaran,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Pada masa sama, Yusof menegaskan isterinya tidak meluahkan rasa gembira dengan khabar penceraian malah mengambil keputusan untuk tidak campur tangan.
“Saya tak boleh nak cakap isteri suka mereka bercerai. Isteri saya tidak cakap ya atau tidak. Tidak adil untuk kami doakan perpisahan mereka.
“Kalau ada yang kata mereka berpisah sebab tidak mendapat restu, saya boleh katakan jodoh Allah tentukan.
“Jujurnya, kami bagaikan hilang kata-kata. Saya juga tidak mahu apa sahaja yang diperkatakan akan disalah erti,” tambahnya.
Padanya, Syamsul seharusnya mencari mereka semula, di usia yang sudah tua, Yusof mengharapkan kedamaian dan menganggap ini adalah sebahagian daripada ujian hidup.
“Kami rindukan anak tetapi dalam mencari kedamaian, tuan punya diri harus mulakan. Apa yang dirasakan, kami simpan sahaja. Tidak pernah marah atau dendam.
“Dalam usia begini saya hanya mahukan kedamaian, namun mungkin tidak berlaku pada saya. Ini adalah ujian dalam hidup,” luahnya.
Baca juga: Isteri baru bersalin 16 hari, Da’i Syed menangis teresak dihukum penjara kerana merogol