Pendirian berbeza PAS berkenaan hubungannya dengan DAP di Pulau Pinang dan Selangor mencetuskan persoalan di hati rakyat ketika parti tersebut sebelum ini bertindak memutuskan hubungan dengan DAP.
Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, dalam konteks perjuangan rakyat, sesebuah parti politik harus konsisten dalam soal hubungan siasah yang ingin dibina sama ada di peringkat nasional mahupun negeri.
“Sikap konsisten ini menjadi lebih penting bagi sebuah parti Islam yang diletakkan ‘high expectation’ dalam hal menyeru pada kebaikan dan mencegah pada kemungkaran.
“Kita tidak berniat mahu masuk campur dalam urusan parti orang lain. Tapi demi rakyat, biarlah hubungan politik itu terbina dengan baik dan konsisten,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Beliau berkata, rakyat hairan dan tertanya-tanya apabila tindakan memutuskan hubungan dengan DAP hanya terpakai di Pulau Pinang sahaja tetapi tidak termasuk Selangor.
“Namun mengapa hubungan dengan DAP di Pulau Pinang menjadi ‘haram’ tetapi hubungan dengan DAP di Selangor menjadi ‘harus’?” soalnya.
Keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan DAP pada muktamar tahunannya yang ke-61 tahun lalu mengakhiri kewujudan Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 1 April 2008 oleh PKR, DAP dan PAS.
Bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang telah berkubur, satu pakatan politik baru yang menggabungkan PKR, DAP dan parti baru Amanah dengan nama Pakatan Harapan telah dilancarkan akhir tahun lalu.
Batal kerjasama dengan Najib
Menyedari pelbagai salah tadbir urus oleh rejim Umno-BN yang merugikan rakyat dan wajar diberi perhatian semua pihak, Shazni berkata, pihaknya menyeru agar seluruh parti pembangkang membatalkan segala kerjasama atas nama apa sekalipun dengan Najib Tun Razak dan bersatu bersama-sama Pakatan Harapan.
“Tindakan bersungguh-sungguh ingin ‘menyelamatkan negara’ dengan hubungan silaturrahim bersama Najib Tun Razak yang masih dibelit skandal RM2.6 billion dan penyelewengan RM42 billion dana 1MDB bukanlah satu tindakan politik yang cermat dan mendahulukan rakyat.
“Bagaimana perbuatan khianat terhadap amanah rakyat dan negara itu boleh mudah-mudah ditoleransi hanya semata-mata faktor ‘kau Islam dan aku pun Islam’?” bidasnya lagi.
Sehubungan itu, Shazni berkata, masa depan lebih baik buat seluruh rakyat Malaysia hanya boleh dinikmati sekiranya tidak wujud perpecahan dalam parti pembangkang dalam usaha menghapuskan penyelewengan rejim.
“Kita percaya bahawa jika semua parti pembangkang bersatu dalam satu matlamat iaitu menghentikan kemungkaran dan salahguna kuasa Perdana Menteri ketika ini, maka usaha untuk melihat sinar baru dalam negara yang kita cintai ini akan tercapai,” tambahnya.
Dalam hal berkaitan, Pakatan Harapan yang terdiri daripada Amanah, PKR dan DAP akan menandatangani satu persefahaman politik iaitu Perjanjian Pakatan Harapan, Sabtu ini di Pusat Persidangan SACC, Shah Alam, Selangor.
Bakal mencatat sejarah baru dalam gerakan barisan pembangkang di negara ini, perjanjian mengandungi tujuh perkara utama itu bagi membentuk kesatuan politik yang kukuh antara Amanah, PKR dan DAP dalam berdepan dengan Umno-BN pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.