“Hukum beranak adalah sunat, tapi…”, Ustaz Azhar Idrus jawab persoalan ‘childfree’

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini, istilah ‘childfree’ merujuk kepada pendirian pasangan berkahwin yang tidak mempunyai keinginan untuk memiliki anak kembali hangat diperkatakan.

Amalan ini bukanlah sesuatu yang baharu malah telah menjadi kelaziman masyarakat Eropah sekitar awal tahun 1500-an ekoran kaum Hawa lebih memilih untuk bekerja.

Sedangkan di sekitar tahun berkenaan, sudah menjadi kebiasaan bagi wanita Eropah ketika itu untuk berkahwin di usia yang muda berbanding membina kerjaya sendiri.

Walau bagaimanapun, istilah ini kembali popular termasuklah dalam kalangan rakyat Malaysia yang mahu mengamalkannya ekoran masalah kewangan dan sebagainya.

Sehubungan itu, pendakwah bebas popular iaitu Ustaz Azhar Idrus tampil mengulas isu childfree selepas menerima soalan mengenainya dalam satu program ceramah.

Menurut Ustaz Azhar, pendirian childfree yang selalunya diamalkan oleh pasangan bukan Muslim ini merupakan satu perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Jelasnya, junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W juga menuntut orang Islam untuk memiliki anak yang ramai supaya baginda mempunyai umat yang paling ramai kelak.

“Nikah, tetapi tak mahu anak. Ini bukanlah seruan Islam. Namun seruan orang di luar agama Islam (pasangan bukan Muslim). Orang beriman sudah tentu akan ikut Nabi (Muhammad).

“Nabi juga bersabda bahawa, ‘Kahwinlah kamu dengan wanita supaya ramai anak kerana aku bangga menjadi Nabi yang ramai umat pada hari Kiamat’,” jelas Ustaz Azhar.

Penceramah yang mesra disapa UAI itu berkata demikian ketika menjawab soalan ditanyakan oleh salah seorang jemaah mengenai isu childfree di dalam sesi ceramah tersebut.

Rakaman Kuliyyah Maghrib Jemputan dan Soal Jawab Agama di Masjid Jamek Felda Kerteh 5, Terengganu itu turut dikongsi menerusi satu hantaran di platform Youtube.

Mengulas lanjut Ustaz Azhar berkata, anak yang dilahirkan bukan sahaja menjadi penyambung nasab keturunan malah mampu mendoakan kesejahteraan ibu bapa.

“Adakah wajib untuk beranak? Tidak, hukumnya adalah sunat. Tetapi dengan adanya anak, mereka akan menyambung kesinambungan nasab kita. Apabila kita meninggal dunia kelak, ada anak yang mendoakan kita.

“Kalau tak nak beranak, tiada masalah. Tetapi akhirnya boleh menjadi ‘kufur’ kerana seseorang itu seakan tidak yakin kepada Allah yang memberi rezeki.” Ujar penceramah berkenaan.

Baca juga: Pemuda India ini tak menyesal tinggalkan kerjaya jurutera demi jadi usahawan cili, semusim boleh dapat RM50k