Husam dihadap ke jawatankuasa tatatertib Pas Pusat

Oleh BORHAN AHMAD

Mesyuarat jawatankuasa kerja Pas Pusat menyerahkan aduan-aduan tatatertib membabitkan Yang Dipertua Pas Kubang Kerian, Husam Musa kepada jawatankuasa tatatertib parti.

Ketika mengumumkan keputusan itu dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mesyuarat berpandangan aduan-aduan tersebut mempunyai merit dan asas serta bertaraf kes tatatertib.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, katanya boleh dipertimbangkan tindakan tatatertib sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Pas.

“Setelah mengkaji dari semua aspek, termasuk akur kepada prinsip-prinsip asasi undang-undang iaitu ‘rules againts bias’ dan ‘conflict of interest’, mesyuarat jawatankuasa kerja Pas Pusat memutuskan aduan-aduan tatatertib ini wajar diserahkan kepada jawatankuasa tatatertib parti untuk diputuskan mengikut peraturan dan undang-undang yang berkaitan serta perlembagaan Pas,” katanya.

Sehubungan itu tambah beliau, kes tatatertib Husam akan dikendalikan jawatankuasa tatatertib parti yang dipengerusikan Dr Sanusi Daeng Mariok.

Mesyuarat jawatankuasa kerja Pas Pusat juga, ujar Tuan Ibrahim memohon agar kes tatatertib ini diputuskan dengan kadar segera bagi mengelak kesan tidak baik, tohmahan yang berterusan serta merugikan kepentingan parti.