Husam tegas kekal bersama PAS, mahu perubahan politik

Oleh BORHAN AHMAD

Naib presiden PAS, Datuk Husam Musa menegaskan akan tetap berada dalam parti itu bagi melakukan perubahan politik di Malaysia.

Malah beliau bersedia mengetuai PAS dalam melaksanakan perubahan politik khususnya bagi membanteras korupsi.

“PAS kena ke hadapan dalam melakukan perubahan politik. Kalau tak ada orang lain daripada PAS saya secara peribadi bersedia.

“Saya tak masuk Amanah. Saya PAS. Minta maaf orang Amanah jangan kecewa… panjang lagi masa. Saya PAS,” kata beliau ketika berucap dalam majlis makan malam di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan malam tadi.

Ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Tok Guru Nik Abdul Aziz: Tokoh Reformis Malaysia”, bekas exco kerajaan negeri Kelantan itu juga berkata, tindakan beliau hadir ke program Amanah selari dengan tindakan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang duduk sepentas dengan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak di majlis anjuran alumni Universiti Al-Azhar, Mesir baru-baru ini.

“Saya bernasib baik kerana presiden saya telah buat satu ketetapan bahawa hadir dalam majlis pihak yang bertentangan adalah diizinkan seperti mana hadirnya presiden saya satu pentas dengan presiden Umno. Lebih-lebih lagi dalam semangat nasihat-menasihati,” ujarnya di hadapan hampir 1,000 hadirin.

Husam berkata, beliau mahu mengukuhkan pembaharuan dalam Pakatan Harapan sekaligus meneruskan misi dan visi Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melakukan perubahan politik.

“Saya datang ke sini untuk mengukuhkan tenaga reform dalam pakatan dan saya kira ini adalah visi dan misi yang tak pernah padam daripada Tok Guru Nik Aziz iaitu Malaysia pada hari ini sangat memerlukan perubahan politik. Dan sebarang usaha untuk perubahan ini memerlukan kerjasama semua pihak,” kata beliau yang juga Adun Salor.

Menurut beliau juga,tiada kompromi terhadap pihak yang menyokong korupsi dalam negara.

“Saya mengharapkan presiden saya sewaktu menasihati Najib menasihati perkara ini. Saya menjangkakan Multaqa al-Azhar menganggap isu korupsi dalam negara menjadi isu penting yang dijadikan resolusi dalam multaqa pertama mereka. Tetapi nampaknya perkara lain yang dianggap lebih penting,” katanya.