Hanya beberapa jam selepas Pejabat Agung Pas mengadakan sidang media berhubung kedudukan Datuk Husam Musa, bekas Naib Presiden Pas itu tampil menyatakan kesediaan untuk menemui jawatankuasa disiplin parti.
Beliau melalui kenyataannya di Facebook petang ini menantikan kertas pertuduhan rasmi bagi tujuan tersebut untuk membolehkannya menyediakan pembelaan yang sewajarnya.
“Saya mengikuti kenyataan media oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Timbalan Presiden Pas pada hari ini berbetulan dengan Mesyuarat Bulanan Pas. Insya Allah saya bersedia menemui jawatankuasa disiplin parti.
“Saya akan bertanggung jawab atas semua ucapan saya dan Insya Allah akan mempertahankannya semasa menemui Jawatankuasa Disiplin nanti,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Adun Salor itu mengingatkan janji Dewan Harian Pas Pusat sebelum ini untuk memberikan maklum balas berhubung ‘nota cinta’ beliau pada pertemuan 30 November tahun lalu yang masih belum terlaksana.
Husam dalam kenyataan tujuh ayat tersebut juga menegaskan akan menjelaskan banyak hal yang dilihat bertentangan dengan polisi parti serta tuntutan agama.
“Pada masa yang sama, saya akan menyampaikan kepada jawatankuasa disiplin nanti perkara-perkara yang bercanggah dengan dasar Pas dan Islam yang telah dilakukan oleh pihak-pihak di dalam Pas yang telah saya bangkitkan selama ini,” tambahnya lagi.
Ustaz Tuan Ibrahim dalam sidang medianya sebelum itu berkata, tindakan tatatertib boleh dipertimbangkan ke atas Husam mengikut peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan Pas.
Sehubungan itu, ujarnya, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang hari ini memutuskan prosiding berkaitan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Tatatertib parti yang dipengerusikan oleh Dr Sanusi Daeng Mariok.
Untuk rekod, ‘nota cinta’ yang diserahkan oleh Husam pada 30 November 2015 berkaitan dengan cabaran kerajaan negeri Kelantan untuk mengurus tadbir dan langkah parti berkenaan untuk menyatukan ahlinya ekoran keputusan Muktamar Tahunan Pas ke-61 lima bulan sebelum itu.