Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq tampil menyapa peminat dalam satu sesi siaran langsung pada malam tadi selepas Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskannya atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Namun ketika sesi siaran di laman TikTok itu berlangsung, rata-rata penonton malah meninggalkan komen bertanya tentang keberadaan pelakon yang kini hangat digosipkan memiliki hubungan istimewa dengannya iaitu Bella Astillah.
Syed Saddiq kemudian memberi respons balas dengan memohon maaf kepada peminat berikutan tidak boleh tampil bersama Bella setiap kali mengadakan sesi siaran langsung kerana mereka mempunyai kesibukan masing-masing.
Pemilik nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah itu juga memiliki keluarga sendiri dan dua orang cahaya mata masing-masing berusia lapan dan lima tahun iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang berada di bawah jagaannya.
Oleh yang demikian, peminat tidak perlu merasa khuatir sekiranya mereka tidak tampil bersama malah ahli politik berusia 32 tahun itu turut memberikan jaminan bahawa dirinya tidak akan melupakan pertolongan Bella terutama sejak akhir-akhir ini.
“Ramai kata terhutang budi. Ya, itu sudah jelas. Walaupun kami sudah saling mengenali dari beberapa tahun lepas. Tetapi sejak enam ke tujuh bulan kebelakangan ini, Bella berperanan penting dalam menggembirakan saya.
“Dalam masa yang sama, kita sering bekerjasama. Sampai ke hari ini dia sentiasa berada di sisi saya. Saya terhutang budi. Tetapi minta maaf kerana saya tak dapat bawa dia ke setiap sesi siaran langsung. Saya juga rasa serba salah.
“Bella juga ada kesibukan sendiri. Ada keluarga dan anak-anak yang menghargai cintanya sebagai seorang ibu. Jadi kepada para peminat, tak perlu rasa risau. Saya tidak akan lupakan semua (jasa Bella) itu,” kata Syed Saddiq.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga tidak menafikan pandangan peminat bahawa dirinya terhutang budi atas segala sokongan serta pengorbanan dilakukan oleh pelakon terbabit dan berjanji akan membalasnya suatu hari nanti.
Menerusi sesi siaran langsung tersebut, Syed Saddiq juga menyifatkan Bella sebagai wanita yang luar biasa kerana berjaya melalui ujian berat dalam hidupnya sendiri selain sentiasa berada di sisi ahli politik berkenaan di sepanjang tempoh perkenalan mereka.
“Kerana hutang budi itu perlu dibalas dan saya tidak akan melupakannya. Bella adalah wanita yang luar biasa. Ujian yang saya lalui ini kecil jika dibandingkan dengan dugaan dihadapi olehnya,” jelasnya dalam siaran langsung yang sempat dirakam sebelum dimuat naik semula di platform TikTok.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Keputusan dibuat selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.
Melalui penghakiman dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Noorin Badaruddin, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 terhadap Syed Saddiq selaku perayu.
Baca juga: Realiti hidup orang kaya yang ramai tak nampak, sebab itu dorang suka tukar-tukar rumah