Hutang dengan pemberi pinjaman wang tidak berlesen adalah satu isu serius dalam masyarakat hari ini.
Terutamanya dalam kalangan individu yang terdesak mencari penyelesaian segera kepada masalah kewangan dan ini adalah jalan paling mudah untuk mendapatkan duit.
Pinjaman yang pada awalnya sedikit mula bertambah apabila peminjam gagal melunaskan hutang dalam tempoh yang ditetapkan.
Hanya kerana pernah meminjam RM150 dan gagal membayar pinjaman, peminjam dipaksa bakar rumah orang demi menyelamatkan nyawa sendiri dan keluarga lapor Kosmo! Online.
Bukan hanya sebuah rumah, sebaliknya peminjam perlu membuat perkara tersebut selagi wang pinjaman yang kini mencecah puluhan ribu ringgit tidak dilangsaikan sepenuhnya.
Ketua Unit Banteras Ahlong, Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain Darul Muttaqim (DM), Adam Mustapa berkata, itu antara modus operandi dibongkarkan pihaknya.
Perkara tersebut dikatakan berlaku apabila peminjam gagal membayar balik pinjaman yang dibuat kepada ah long terlibat.
“Mangsa-mangsa ini bila terlalu takut, mereka sanggup terima tawaran kumpulan yang beri pinjaman ini untuk bakar rumah, simbah cat dan jenayah lain terhadap mangsa-mangsa yang juga gagal membayar wang pinjaman.
“Jika sanggup buat, hutang mereka akan dihapuskan sedikit demi sedikit bahkan turut terima upah.
“Contohnya bakar sebuah rumah hutang lupus RM1,500 kalau mangsa itu hutang dan
‘bunga’ sebanyak RM9,000 berapa rumah perlu dibakar dan dibaling cat,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Jelasnya, jumlah mangsa kumpulan tersebut juga semakan ramai dan pihaknya sudah berjaya menyelesaikan 2,000 kes sejak tahun 2022.
Ini sekali gus menyelamatkan mangsa daripada menerima tawaran kumpulan itu.
“Setakat ini, jumlah pinjaman tertinggi dalam rekod kita adalah sejumlah RM70,000 yang
asalnya bermula dengan RM150 sahaja,” katanya.
Baca juga: Kereta jatuh sungai? Jangan panik…6 langkah ini boleh selamatkan anda dari lemas