Kita biasa mendengar kenyataan tentang seorang anak patut mengutamakan ibu berbanding bapa.
Ada hadith tentang seseorang yang bertanyakan Nabi tentang siapakah yang patut dia utamakan dalam berbakti. Nabi menjawab, ibumu, sebanyak tiga kali (al-Bukhari, Muslim).
Dengan tidak mempersoalkan hadith tadi daripada apa-apa sudut sekalipun, ada juga hujah yang boleh diguna untuk berkata, bapa lebih patut diutamakan berbanding ibu, bergantung kepada situasi dan keperluan.
Pertama, dari sudut bahasa, lafaz (abawan) diguna untuk membawa maksud bapa dan ibu. Lafaz (umman) tidak diguna (setahu saya) untuk membawa maksud bapa dan ibu.
Lafaz (abawan) berasal daripada lafaz (abun) bermaksud bapa. Penggunaan lafaz bapa untuk maksud bapa dan ibu membuktikan bapa lebih utama berbanding ibu.
Kedua, begitu juga ayat al-Quran tentang Maryam disebut (wa kaanat min al-qanitin) – al-Tahrim: 12, yakni Maryam termasuk dalam kalangan orang lelaki yang taat (qanitin).
Lafaz yang diguna ialah (qanitin) – lelaki yang taat dan tidak (qanitat) yakni wanita yang taat. Padahal Maryam adalah wanita, tetapi diletak bersama lelaki yang taat. Maksudnya, lelaki termasuk bapa lebih utama berbanding wanita termasuk ibu.
Demikian pandangan al-Allamah Muhammad Bin ‘Allan al-Siddiqi, penulis Dalil al-Falihin, syarah kepada Riyadh al-Salihin ketika mensyarahkan hadith tentang bertawassul dengan amal saleh untuk melepaskan diri daripada terperangkap di dalam gua (al-Bukhari, Muslim).
Jadi, wanita yang jadi ibu tidak patut berasa mereka saja yang patut jadi fokus anak-anak, atau ada hak yang lebih terhadap anak-anak.