Baru-baru ini tular satu rakaman temu bual membabitkan seorang kanak-kanak perempuan iaitu penghuni sebuah rumah kebajikan yang berjaya mengundang sebak orang ramai.
Mana tidaknya di dalam rakaman berdurasi satu minit 44 saat tersebut, kanak-kanak berkenaan dilihat menitiskan air mata mengenangkan ibu bapanya yang masih hidup namun sudah menemui kebahagian masing-masing.
Jelas kanak-kanak malang berkenaan, kedua ibu bapanya itu sudah mendirikan rumah tangga dengan pasangan baharu selepas mereka mengambil keputusan untuk berpisah.
Anak kecil yang kini mengikuti sesi persekolahan Darjah Empat itu juga memaklumkan bahawa dirinya sebelum ini dihantar ke Rumah Titian Kasih Al-Inayah berkenaan kerana keluarga merasa susah menjaganya.
“Keluarga susah nak jaga. Sebabnya mak saya sudah ada bapa tiri (pasangan baharu. Bapa saya juga sudah ada ibu tiri. Adik-beradik saya duduk di Johor. Dahulu ada abang saya juga di rumah kebajikan ini.
“Selepas itu abang keluar, duduk dengan ibu,” kata kanak-kanak yang berkongsi harapannya agar dapat menemui keluarga kandungnya suatu hari nanti sambil mengelap air matanya menggunakan lengan baju.
Rakaman temu bual tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun TikTok milik Kisah Rumah Kebajikan Malaysia yang kini sudah meraih tontonan sebanyak 155,500 dari pengguna platform berkenaan.
Dalam perkongsian yang sama, kanak-kanak terbabit juga sempat meluahkan rasa gembiranya kerana menerima layanan baik serta dilimpahkan kasih sayang daripada ibu angkat dipercayai pengasas rumah kebajikan berkenaan.
“Selama duduk di sini, Ummi sudah seperti ibu saya sendiri. Ummi hantar kami pergi ke sekolah, dapat duit belanja dan dibawa jalan-jalan. Rasa seronok juga duduk di sini sebab banyak kawan.” Kongsinya.
Tinjauan di ruangan komen rakaman itu mendapati rata-rata pengguna menyifatkan tindakan ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit sebagai tidak bertanggungjawab selain mendoakan anak kecil berkenaan berjaya meraih kejayaan dalam hidupnya.
Baca juga: Dikecam teruk, rupanya ini bukan kali pertama Azlan Komeng berpoligami