Ibu bapa mangsa seolah olah tidak ambil peduli

Oleh MALAYSIADATELINE

 

Ibu bapa pelajar Sekolah Tahfiz Darus As-Syabab yang terlibat dalam kes liwat seolah-olah tidak ambil berat dengan apa yang berlaku pada anak-anak mereka.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang melawat pusat tahfiz itu hari ini terkejut apabila diberitahu oleh isteri suspek bahawa semua mangsa yang membuat laporan polis mendakwa dicabul oleh suaminya masih meneruskan pengajian seperti biasa.

“Saya tidak akan pergi lanjut (mengenai keadaan mangsa) kerana tidak mahu masuk campur proses pendakwaan. Tetapi, nampaknya isu di sini adalah ibu bapa,” katanya dalam sidang media di Pusat Tahfiz Darul As-Syabab di Kepong, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas bahawa dua daripada sembilan mangsa sudah pulang ke rumah tetapi tujuh masih tinggal di asrama itu dan belajar seperti biasa.

“Cara cakap (dengan mangsa) seolah-olah ibu bapa tidak kisah, tidak peduli (dengan kejadian yang menimpa mereka),” kata Mujahid selepas bertemu sendiri dengan pelajar yang terlibat.

Tegas menteri itu, ibu bapa mesti lebih bertanggungjawab dan mengambil tahu perkembangan anak-anak mereka.

“Kejiranan di sini (Kepong) boleh dianggap sebagai golongan B40. Mereka tinggal di perumahan flat. Hantar anak ke sini (pusat tahfiz), disediakan asrama, bayar sedikit yuran, habislah,” tambah Mujahid.

Pusat tahfiz itu kini tidak mempunyai guru selepas tiga gurunya yang bertanggungjawab membawa pelajar terlibat membuat aduan polis sudah tidak lagi berkhidmat di situ,kata Mujahid.

Pusat tahfiz itu juga sudah tidak ada dana yang cukup untuk beroperasi, tambahnya.

“Saya cadangkan ibu bapa bawa pulang (anak-anak) dan kami juga akan menawarkan sekolah-sekolah alternatif yang berdaftar dan ikut semua prosedur yang ditetapkan,” jelasnya.