Sekumpulan ibu bapa sanggup berkongsi duit sesama mereka untuk membeli kerusi bilik darjah baharu bagi kegunaan anak-anak mereka.
Ia selepas kerusi yang sedia ada sangatlah kotor dan dalam keadaan kurang sesuai digunakan untuk sesi pembelajaran.
Menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular, salah seorang ibu bapa berkata patutlah baju anaknya sering kotor, rupa-rupanya ia disebabkan kerusi yang sudah uzur.
“Sedih, kita kena beli kerusi baru untuk anak-anak kita satu kelas ni. Patutlah baju selalu kotor,” kata penjaga tersebut di dalam kumpulan WhatsApp kelas.
Dalam tangkap layar perbualan itu, turut memaparkan kutipan untuk membeli kerusi baharu dimulakan oleh penjaga murid-murid kelas tersebut dan mendapat sambutan ibu bapa lain dengan jumlah kutipan berjaya dikumpul berjumlah RM745.45.
Sementara itu meninjau ke ruangan komen, biarpun ramai yang memuji inisiatif dimulakan ibu bapa demi keselesaan anak-anak, namun ada juga yang prihatin dengan mempersoalkan fungsi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sehingga ibu bapa terpaksa mengeluarkan duit poket mereka sendiri.
Individu itu tertanya, mengapa ibu bapa tidak membuat tuntutan kepada PIBG kerana itu adalah lebih baik.
Namun salah seorang pengguna X menjelaskan bahawa duit yang dikumpul PIBG tidak boleh digunakan untuk membeli peralatan satu kelas sahaja, tetapi perlu babitkan satu sekolah.
Jika kerusi dalam satu sekolah ditukar, ia akan membabitkan kos yang lebih besar, kata individu itu.
“Meh aku tolong jawabkan. Tak boleh guna duit PIBG untuk beli satu kelas punya kerusi je. Kalau nak guna duit PIBG, kena beli untuk satu sekolah.
“Kalau nak beli satu sekolah punya kerusi, kena bawa masuk mesyuarat PIBG. Kalau semua ibu bapa setuju, baru boleh guna duit PIBG,” kongsi individu terbabit.
Baca juga: Baru hari pertama dah buat hal, pembeli terkejut pulut panggang keras macam kayu