Anak manakah tidak merasa tertekan apabila menerima desakan daripada ibu bapa untuk menanggung beban kewangan keluarga seorang diri di usia yang muda tanpa bantuan adik-beradik lain.
Itulah masalah kini dialami oleh seorang gadis berusia 24 tahun yang terpaksa mengambil tanggungjawab untuk memenuhi setiap kemahuan dan keperluan ibu bapanya dalam bentuk kewangan.
Menurut gadis itu, bapanya masih lagi mempunyai punca pendapatan dengan menjalankan perniagaan namun keuntungan yang diperolehi tidak begitu stabil sehingga membuatkan dirinya menjadi ‘tempat bergantung’.
Lebih memburukkan keadaan, situasi keluarganya turut memberi kesan yang cukup besar di dalam perancangan kewangannya memandangkan gadis itu juga mempunyai niat untuk mendirikan rumah tangga.
“Adakah saya anak derhaka kalau rasa sedih dan terbeban apabila mak sendiri meletakkan beban kewangan di bahu saya? Minta saya bayarkan duit kutu, bawa dia bercuti dan berjalan.
“Itu belum lagi ibu bapa yang mesti akan cari saya dahulu kalau ada sebarang masalah kewangan. Sampai saya rasa malas nak balik rumah sebab macam sedih adik-beradik (tak membantu).
“Ayah saya ada perniagaan sendiri. Cuma itulah, berniaga ini ada naik turunnya (untung dan rugi). Saya penat sebab perlu tanggung beban ini. Nak kumpul duit kahwin pun masih terkapai-kapai nak mencukupkan,” katanya.
Perkongsian berkenaan dibuat oleh gadis terbabit tanpa mendedahkan identiti sebenar menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
Dedah gadis itu lagi, ibu bapanya tidak membenarkannya meminta bantuan daripada adik-beradik lain meskipun mereka memiliki kewangan yang stabil dengan alasan semuanya sudah mendirikan rumah tangga.
“Kewangan adik-beradik lain stabil sahaja. Tetapi ibu bapa saya tak nak bebankan mereka. Sebab mereka sudah ada keluarga masing-masing. Habis itu, saya macam mana? Nak sembang dengan mereka sendiri pun malas juga.
“Sebabnya masing-masing (adik-beradik) mesti akan sentap kalau nak bincang tentang isu tanggungjawab. Sudahnya mak dan ayah mesti cari saya juga. Saya cuma nak beritahu yang diri ini sudah penat sahaja.
“Sebelum ini saya tak pernah tunjuk sedih, penat atau rasa terbeban depan keluarga. Mungkin sebabnya saya sudah terbiasa mengambil tanggungjawab.” Kesal gadis terbabit dalam perkongsian itu.
Baca juga: Ada yang sampai ‘bertaruh’, Fauziah Ahmad Daud terkilan keputusan berhijab pernah dikritik ramai