Baru-baru ini tular satu perkongsian dari seorang ibu yang menuntut keadilan di atas kematian anaknya kerana bayi berusia empat bulan berkenaan meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pihak taska.
Lebih memburukkan keadaan, pihak taska juga enggan memberikan penjelasan terperinci mengenai pemergian anaknya malah bertindak mengeluarkannya dari kumpulan sembang pusat jagaan berkenaan.
Bayi malang yang dikenali sebagai Handzalah itu didakwa telah ditinggalkan bersendirian dalam sebuah bilik tanpa sebarang pengawasan oleh pihak taska sehingga ditemui tidak sedarkan diri.
Pihak polis juga telah membuka kes siasatan berhubung kematian bayi berkenaan yang dihantar pengasuh taska ke sebuah klinik di Bandar Saujana, Selangor dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 3 Januari lalu.
Namun siapa sangka dalam perjalanan untuk menuntut keadilan, ibu terbabit turut menerima komen negatif dari segelintir pengguna media sosial yang menyalahkannya kerana bekerja dan tidak menjaga anaknya sendiri.
Tampil memberi penjelasan, ibu kepada Handzalah dalam satu hantaran di Instagram Story memaklumkan bahawa dirinya dan suami sudah berusaha untuk melakukan yang terbaik sebagai penjaga kepada bayi berkenaan.
Wanita itu juga mengakui memilih untuk bekerja kerana mahukan kehidupan yang selesa buat anak-anak selain terpaksa menghantar bayinya ke pusat jagaan berikutan tidak lagi memiliki ibu bapa ataupun mentua.
“Saya tahu orang cakap, jangan baca komen yang negatif apabila pihak media sudah mula menyiarkan kes anak saya. Tetapi saya baca juga.Saya mohon, jangan salahkan kami. Saya sudah cuba sehabis baik untuk jadi ibu kepada anak saya.
“Saya bekerja sebab mahukan kehidupan yang selesa buat anak-anak. Kami suami isteri ini anak yatim piatu. Tak dapat nak hantar anak ke rumah mak atau mentua untuk jagakan cucu. Saya minta maaf kalau ada yang rasa ini salah kami, ibu bapa,” kesalnya.
Difahamkan, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas polis menerima laporan mengenainya dari seorang doktor klinik di Bandar Saujana pada hari kejadian sekitar jam 3.29 petang.
Pada hari kejadian, doktor menerima seorang bayi lelaki dibawa oleh pengasuh taska di dalam keadaan pucat, kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi, nafas serta pergerakan anak mata apabila disuluh dengan lampu.
Doktor kemudian memberikan bantuan penafasan (CPR) dan juga oksigen kepada mangsa sementara menunggu ambulans untuk membawa bayi itu ke Hospital Cyberjaya dalam usaha untuk menyelamatkannya.
Pihak Hospital Cyberjaya menerima mangsa sekitar pukul 4.35 petang dan turut melakukan CPR selama lebih 30 minit namun tiada tindak balas sebelum bayi itu disahkan meninggal dunia pada jam 5.05 petang.
Baca juga: Dakwaan kertas Sejarah SPM bocor tak berasas, KPM nafi ia berlaku