Sekolah rendah anak tak terima wang tunai bayar makanan, ibu harap pihak kantin jujur

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian daripada seorang ibu mengenai sistem pembayaran di sekolah rendah anaknya yang dikatakan tidak lagi menggunakan wang tunai bagi urusan jual beli di kantin.

Menerusi perkongsian tular yang dimuat naik di platform TikTok itu, sang ibu memaklumkan bahawa pihak sekolah memakai sistem transaksi tanpa tunai ataupun ‘cashless’ dengan menggunakan kad debit.

Oleh yang demikian, ibu itu tampil meluahkan kerisauan di dalam rakaman berdurasi tiga minit 35 saat berkenaan ekoran khuatir sistem pembayaran sedemikian mungkin agak sukar untuk difahami oleh kanak-kanak.

Wanita itu sangat berharap agar pihak kantin memainkan peranan dengan berlaku jujur di dalam melakukan urusan jual beli selain memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak berhubung penggunaan sistem pembayaran tersebut.

“Sekolah rendah ada yang menggunakan sistem bayaran dengan kad debit. Jadi kad ini memang khas diguna di kantin sekolah. Hanya perlu sentuh kad untuk membeli, jadi tidak perlu sediakan wang tunai sebagai duit belanja.

“Tetapi ada juga sekolah rendah yang belum mula untuk mengggunakan sistem bayaran ini. Cuma yang sekarang ini saya nak beri peringatan sebab risaukan murid Darjah Satu, Dua atau Tiga itu. Sebab mereka kecil lagi.

“Mengira wang tunai atau baki pun tak begitu pandai lagi. Jadi saya mahu nasihatkan kepada pihak kantin sekolah supaya berlaku jujur dengan budak sekolah dan mengajar mereka membuat pembayaran dengan betul,” katanya.

@shimaosmanmy

SAYA PUN MENERIMA SEADANYA SEPERTI IBUBAPA LAIN TETAPI INGATKAN ANAK2 berhati2 #debitkad (Kalau boleh saya pun nak anak2 saya secara manual dengan “wang kertas & syiling” baru belajar cara mengira duit dengan betul bukan boros) TETAPI INGATKAN ANAK2 berhati2 #debitkad #backtoschool #sekolahrendah #sekolahmalaysia #selangor #kl #sisviral #momoftiktok #malaysiantiktok #tiktokviral #bankmalaysia

♬ Oh No – Kreepa

Dalam hantaran yang sama, wanita berkenaan juga tidak menafikan tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak dalam pengurusan kewangan selain mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku sebarang kecuaian.

Antara langkah-langkah tersebut adalah ibu bapa jangan memasukkan wang yang terlalu banyak dalam kad bank tersebut supaya anak mereka tidaklah berbelanja secara berlebihan walaupun hanya di kantin sekolah.

Ibu bapa juga turut disarankan untuk menulis sebarang maklumat penting seperti nama anak, kelas dan nombor telefon supaya boleh diselitkan kepada kad bank tersebut bagi memudahkan pemulangannya jika tercicir.

Baca juga: Kes maut akibat tercekik gummy ‘mata’, 2 platform jualan dalam talian diarah turunkan iklan