Ibu gajah yang kehilangan anak akibat dilanggar sebuah lori muatan ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada awal pagi semalam didakwa kembali semula ke lokasi kejadian.
Haiwan mamalia itu dikatakan kembali ke lokasi tersebut pada malam semalam namun hanya berdiri di tepi jalan raya dan dipercayai memandang ke arah tempat anaknya menghembuskan nafas terakhir.
Suasana yang amat menyayat hati itu difahamkan sempat dirakam oleh pengguna jalan raya sebelum dikongsikan untuk tontonan ramai menerusi satu hantaran video di platform TikTok.
Walaupun video berdurasi 36 saat itu dirakam pada waktu malam, namun kelibat ibu gajah berkenaan dapat dilihat berdiri di tepi jalan raya selepas disinari dengan lampu kenderaan yang lalu berhampirannya.
Perakam video itu turut berkongsi keratan akhbar Sinar Harian yang menyiarkan kenyataan Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff mengenai kemungkinan bahawa gajah itu akan kembali ke lokasi kejadian.
“Iya tuan, betul ada gajah di tempat kejadian semalam. Sayunya hati ini tengok ke jalan raya,” kata pemilik akaun di ruangan kapsyen hantaran video yang dikongsikan di platform TikTok itu.
Terdahulu, tular satu rakaman yang mengundang sebak hampir seluruh rakyat Malaysia memaparkan seekor induk gajah berdiri berdekatan dengan jasad anaknya ekoran maut dilanggar oleh sebuah lori.
Situasi menjadi lebih memilukan berikutan kejadian yang menunjukkan kasih sayang seekor haiwan terhadap anaknya yang sudah tidak bernyawa lagi itu berlaku pada sambutan Hari Ibu.
Gajah tersebut dikatakan enggan berganjak dari anaknya sehingga Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terpaksa menggunakan pelali untuk membawa ibu gajah itu jauh daripada lokasi kejadian.

Baca juga: Isteri pernah jadi tukang cuci, Achey tak akan lupa pengorbanan untuk dia kekal dalam industri