Satu rakaman memaparkan kemeriahan sambutan hari jadi seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun telah berjaya menarik perhatian ramai pengguna media sosial tempatan, baru-baru ini.
Mana tidaknya, sambutan diadakan di sebuah kediaman mewah itu bukan sahaja kelihatan sangat meriah malah turut ditaburi dengan pelbagai hadiah berupa barangan berjenama untuk kanak-kanak terbabit.
Namun perkara yang lebih menarik perhatian orang ramai adalah pendedahan daripada ibu kepada kanak-kanak itu kerana mengakui membelanjakan wang RM1 juta hanya untuk menjayakan sambutan hari lahir anaknya.
Pengakuan tersebut dibuat menerusi satu hantaran video berdurasi dua minit 13 saat dimuat naik di akaun TikTok milik sang ibu dikenali sebagai Farhana Zahra yang turut memaparkan suasana majlis itu.
“Maafkan Mama, ini sahaja yang mampu diberikan untuk anak Mama. RM1 juta sahaja Mama habiskan untuk ulang tahun kali ini. Semua keinginan Yaya (nama anak) Mama sudah penuhi hampir setiap hari.
“Sebab itulah apabila tibanya hari jadi, Mama tak tahu nak berikan apa lagi. Mama berharap dengan pemberian tak seberapa ini, anak Mama gembira. Sengaja buat-buat lupa ketika hari jadi dia. Sebab Mama rancang buat semua ini.
“Waktu hari jadinya, dua kali dia datang dekat Mama dan tunggu untuk diucapkan. Tetapi Mama pula buat tak tahu sahaja. Maaf ya sayang. Sebab itu dia cakap, ‘Yaya ingatkan Mama lupa hari jadi Yaya’,” katanya dalam video itu.
Dalam sambutan itu juga, dapat dilihat Farhana memberi pelbagai hadiah berjenama mewah kepada anak gadisnya termasuk komputer Apple, jam tangan Rolex dan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire.
Walaupun sambutan hari jadi itu menelan belanja yang sangat tinggi, namun Farhana berharap anaknya gembira pada hari paling bermakna selain mendoakan agar segala impian kanak-kanak tersebut tercapai.
“Selamat ulang tahun Yaya yang ke 11 tahun. Sudah besar anak Mama. Semoga cita-cita untuk menjadi usahawan wanita yang berjaya akan menjadi kenyataan.” Tulis wanita terbabit di ruangan kapsyen hantaran itu.
Baca juga: Alif Hadi nak cari pasangan sedap mata memandang, risau mata ‘meliar’ bila nampak wanita cantik