“Hanya kerana sebiji belon yang belum ditiupkan, saya hampir kehilangan anak”, itulah perkongsian seorang wanita mengenai detik cemas dilaluinya ketika sambutan hari lahir puteranya baru-baru ini.
Mana tidaknya dalam kejadian yang berlaku pada 20 Mei lalu itu, anaknya iaitu Uwais Al Fateh tiba-tiba mengalami kesukaran untuk bernafas sebelum kanak-kanak terbabit tidak sedarkan diri.
Berdasarkan hantaran dikongsikan di platform Facebook, pemilik akaun Nurul Huda Zulkhairi itu memaklumkan dirinya dan suami sibuk melayan tetamu ketika kejadian manakala anaknya berlari-lari bersama rakan baiknya.
Situasi mula menjadi cemas apabila adik iparnya dikenali sebagai Zahidah memberitahu bahawa kanak-kanak itu terlihat ‘semput’ sebelum suaminya segera mengambil pam berikutan anaknya memang menghidap asthma,
“Tiba-tiba keadaan kembali tegang apabila adik ipar iaitu Nabil berlari membawa anak saya dekat suami. Dengan keadaan anak biru ketika itu dan jantung sudah berhenti. Suami dan kawannya buatlah beberapa prosedur. Mereka ingatkan anak saya mungkin tersedak makanan.
“Namun setelah cuba beri bantuan penafasan (CPR) dan gunakan satu teknik untuk keluarkan makanan, masih lagi gagal. Tanpa berlengah suami cakap dekat kawannya untuk pergi ke hospital sekarang. Masa ini, suami cakap mungkin sudah 50-50 untuk selamat.
“Sebab jantung dia sudag berhenti. Muka Uwais jadi biru. Kawan suami, Dr Rafiq dengan pantas membawa kereta sangat laju ketika ini. Sambil berikan arahan dekat suami perlu buat apa. Masa ini suami sudah ‘blur’. Anaknya terkulai kaku kebiruan atas riba,” kongsinya.
Difahamkan di dalam perjalanan, suami wanita itu terus-menerus melakukan CPR dengan harapan darah dapat mengalir ke otak anaknya termasuklah penafasan mulut ke mulut sehinggalah sampai ke hospital terdekat.
Pegawai perubatan dan jururawat kemudian bertungkus-lumus menyelamatkan anaknya selepas tiba di hospital sebelum menemukan belon di dalam saluran penafasan kanak-kanak itu ketika melakukan prosedur intubasi.
“Doktor cepat-cepat keluarkan belon tersebut dan terus melakukan CPR. Alhamdulillah, Allah pulangkan kembali nyawa anak saya. Terima kasih kepada pasukan di Jabatan Kecemasan Hospital Kulim yang begitu pantas membantu anak saya.
“Terima kasih juga kepada kakitangan Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar yang begitu teliliti merawat Uwais. Segalanya berlaku begitu pantas. Rupanya Uwais bergurau dengan kawan baiknya dengan memasukkan belon ke dalam mulut.
“Sambil itu dia berlari-lari dan mungkin anak tersedak lalu tercekik. Kisah ini saya kongsikan sebagai peringatan buat semua ibu bapa. Perkara kecil yang kita anggap remeh seperti sebiji belon, boleh menjadi punca musibah besar jika tidak diawasi,” kesalnya dalam hantaran itu.
Dalam perkongsian sama, Nurul Huda turut memohon agar orang ramai mendoakan anaknya terus kuat dan kembali pulih sepenuhnya selain berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan doa dan sokongan.
Nurul Huda dalam hantaran terakhir turut berkongsikan perkembangan anaknya yang masih bergantung kepada alat bantuan penafasan selepas menerima dua beg darah namun oksigen dan nadinya berada dalam keadaan stabil.
Baca juga: Pernah rasa meniaga tepi jalan, Ajak borong habis jualan pasangan warga emas