Menjadi anak sulung pastinya menggalas tanggungjawab yang besar namun itu tidak bererti ibu bapa dengan senang melepas tangan.
Seorang wanita berusia 40 an meluahkan rasa kecewa kerana sering menjadi tempat lempias marah ibu hanya kerana raut wajahnya seperti si bapa.
Berada dalam keluarga bermasalah, si bapa terjebak dalam kancah dadah manakala si ibu lebih selesa hidup menyendiri tanpa saudara-mara.
“Sebenarnya sudah hampir 3 tahun saya tinggalkan keluarga saya kerana tidak tertanggung lagi rasa sedih dihina, dipukul dan difitnah keluarga sendiri.
“Dari umur 15 tahun, saya terpaksa bekerja sambilan sambil belajar untuk membantu ibu kurangkan beban kewangan keluarga.
“Ibu sering buat saya jadi tempat melepaskan marahnya dan saya kerap ditumbuk hingga lebam atau ditampar sekiranya saya tidak cuba untuk memenuhi permintaan adik-adik seperti makan makanan enak, pakaian berjenama,” ujarnya.
Lebih menyakitkan dapat pula adik yang terlebih bersosial hingga lahirkan anak luar nikah namun segala tanggungjawab sebagai ibu dilepaskan pada kakak sulung.
“Adik saya mengandung anak luar nikah empat kali. Saya yang dipaksa ibu untuk jaga anak-anak sedara saya.
“Adik perempuan saya pulak selalu lari dari tanggungjawab dia sebagai seorang ibu. Dia lari rumah dan tinggalkan anak.
“Nanti cukup masa balik dengan perut bunting lagi. Anak-anak dia saya yang kena didik dan uruskan. Kerana belas ikhsan pada buda-budak yang tidak berdosa, saya uruskan mereka walaupun bukan tanggungjawab saya,” tambahnya.
Tak tahan dengan pukulan ibu yang sering menyalahkan dirinya walaupun adik beradiknya bermasalah, dia memilih untuk membawa diri dan tinggal sendirian sahaja sehingga kini.
Buat ibu bapa, bersikap adil dengan semua anak-anak. Mereka tidak boleh memilih ibu bapa tapi anda mampu memilih pasangan yang mampu membimbing anda.
Baca juga: Berlemak siap ada telur! Anak nelayan ini ajar cara pilih ketam ‘berisi’ dengan betul