Bagi mualaf yang belajar tentang Islam pastinya akan cuba untuk menasihati keluarga terdekat untuk mengenali indahnya agama ini.
Apatah lagi anak yang mahukan ibu bapanya untuk masuk Islam bersama hingga sanggup berdoa saban hari.
Selepas hampir 30 tahun menanti, 20 Disember menjadi detik gembira buat Datuk Mohd Daud Leong Abdullah lapor Harian Metro.
AKhirnya ibunya Lee Bee Har memeluk Islam pada usia 101 tahun dengan bantuan pendakwah bebas, Firdaus Wong yang juga Presiden Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa (MRM).
“Sebelum ini, emak sudah bersedia dan saya cuba bantu mengislamkannya, namun dia tak dapat sebut lafaz syahadah dengan betul waktu itu.
“Mungkin belum sampai masanya (memeluk Islam) ketika itu dan Jumaat lalu, ustaz (Firdaus Wong) datang rumah untuk bantu.
“Ustaz kata dia akan cuba bantu kerana semuanya dengan izin Allah SWT. Alhamdulillah, waktu lafaz syahadah, sebutan emak sangat lancar dan selepas sah memeluk Islam.
“Saya terus peluk juga menciumnya kerana itu saat yang saya tunggu sejak sekian lama,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Bukan mudah untuk memujuk ibu, Mohd Daud Leong berkongsi ibunya benar-benar terbuka hari mendalami Islam sejak empat tahun yang lalu.
“Sebenarnya, sejak memeluk Islam lebih 28 tahun lalu lagi saya sudah cuba tarik emak ikut sama namun awalnya memang susah nak sampaikan ajaran Islam kepadanya.
“Malah nampak dia berat nak dengar setiap kali saya mahu buka cerita. Tak mudah kerana emak insan yang melahirkan saya.
“Dulu pun dia ada persepsi bila masuk Islam jadi Melayu sedangkan hanya pegangan agama saja berubah bukannya keturunan.
“Tapi saya cuba ikut apa yang ustaz ajar iaitu tunjuk menerusi perbuatan dengan menjadi seorang anak yang lebih penyayang, ambil berat dan taat hingga emak nampak perubahan itu.
“Lama-kelamaan, emak jadi lembut hati nak terima dakwah cuba saya sampaikan dan nampak minatnya mendalami Islam sejak empat tahun lalu,” tambahnya.
Pada masa sama dia memaklumkan tidak akan lepas tangan untuk membimbing ibunya mempelajari Islam malah merancang untuk membawanya mengerjakan umrah di Tanah Suci nanti.
“Emak nampak seronok sangat selepas peluk Islam sehingga waktu tidur pun dia tersenyum.
“Nampak jelas kegembiraannya kerana kami pun duduk serumah dan selain bimbing emak, saya merancang juga untuk membawanya mengerjakan umrah di Tanah Suci nanti.
“Semoga impian itu menjadi kenyataan dan saya pun berdoa dapat masuk ke dalam syurga dengan emak serta berjumpa dengannya di sana nanti,” katanya.
Baca juga: Boleh ke rayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam? Ini garis panduan dari JAKIM