Ibu sedih nasi dikongsi bersama anak dibuang pekerja gerai, ke tandas sebelum sempat habiskan

Oleh WAN SITI AMINAH

Alangkah sedihnya seorang ibu apabila nasi yang dibeli di sebuah gerai makan untuk dikongsi bersama anak telah dibuang sebelum hidangan berlauk ayam dan sayur itu sempat dihabiskan.

Menerusi perkongsian video di platform TikTok, wanita itu dilihat tidak dapat menahan sebaknya dan menitiskan air mata ketika menceritakan semula kejadian yang berlaku di sebuah gerai di Pulau Pinang.

Jelasnya, nasi tersebut dibelinya bersama lauk ayam dan sayur untuk dikongsi bersama anak sebelum kanak-kanak itu meminta izin untuk pergi ke tandas sebelum hidangan tersebut sempat dimakan.

Sang ibu kemudian memutuskan untuk pergi menemani anaknya ke tandas namun sempat menyampaikan pesan supaya makanannya tidak dibuang kerana masih mahu memakannya selepas ini.

Namun sekembalinya dari tandas, wanita itu mendapati mejanya telah kosong kerana makanannya telah dibuang dipercayai oleh pekerja gerai yang menyangka pelanggan sudah selesai menyantap.

“Kenapa mak cik itu buang nasi? Tadi kami pergi makan dekat kedai. Belilah nasi satu, kemudian bahagi dua untuk anak. Selepas itu tengah makan, anak nak pergi ke tandas. Dia baru makan sedikit.

“Saya sudah pesan dekat mak cik itu, jangan buang nasi. Sebab saya dan anak makan lagi. Jadi kami pergilah ke tandas. Selepas selesai, kami datang semula ke meja itu tetapi nasi sudah tiada.

“Sedangkan ayam dan nasi banyak lagi. Boleh makan dua orang. Ya Allah, kenapa mak cik buang. Tak senang mak cik, nak beli nasi itu. Mak cik itu tengok sahaja. Malaslah nak menangis dekat situ,” kongsi wanita terbabit.

https://www.tiktok.com/@mahanyempire/video/7500827543075949831

Walaupun hidangan berkenaan hanyalah berharga RM6, namun wanita itu tetap merasa sangat sedih dan kecewa berikutan dirinya bukanlah datang daripada golongan senang ataupun berduit.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 1.2 juta tontonan dan 62,100 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya tampil berkongsikan rasa simpati.

“Saya bukan orang yang senang mak cik, nak beli nasi itu. Walaupun makanan itu harga RM6, tetapi itu rezeki kami. Saya sebagai ibu, rasa tak sedap hati. Jadi makan laju-laju dan tinggallah meja untuk ikut anak pergi ke tandas.

“Saya pesan (tolong tengokkan) sebabnya ayam itu besar. Rezeki itu, nak beri anak makan kenyang. Tetapi selepas saya keluar tandas, kami anak beranak tengok mak cik itu sudah lap meja.

“Makanan sudah tiada. Tinggal air minuman sahaja yang tidak diangkat lagi.” Kesal wanita itu dalam hantaran mencuri perhatian ramai termasuklah pengacara dan pelakon iaitu Sarimah Ibrahim yang meluahkan hasrat untuk membantunya.

Baca juga: Teruk dikritik, Kieda panggil pelanggan, pulangkan semula duit