Ibu semangat kejut keluarga buat persiapan di hari raya pertama – “Tetapi kami Kristian”

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan sebuah keluarga yang terlihat sedang sibuk melakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri di hari raya pertama telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, keluarga yang begitu bersemangat dalam rakaman berkenaan bukan sahaja berbangsa Cina tetapi juga beragama Kristian namun turut merasa teruja untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama.

Berdasarkan satu perkongsian dimuat naik di platform TikTok, perakam video memaklumkan bahawa kejadian bermula apabila ibunya mengejutkan keluarga mereka daripada tidur untuk mengemas rumah.

Mereka juga diminta untuk menyusun kuih raya di dalam bekas sebelum dihidangkan atas meja ruang tamu rumah sementara sang ibu ‘bertugas’ di dapur bagi menyediakan juadah yang biasa disajikan di rumah terbuka Aidilfitri.

“Hari raya pertama. Ibu saya kejut dan suruh kita semua mengemas rumah dan susun kuih raya. Sementara ibu saya pula sediakan juadah hari raya Aidilfitri. Tetapi kami keluarga Kristian. Bukannya ada tetamu datang rumah,” katanya dalam perkongsian itu.

@pipipipiww

And also bukannya ada tamu nak datang rumah? 😔

♬ suara asli – 📍 – 📍

Dalam rakaman berdurasi 15 saat itu, kelihatan salah satu ahli keluarga mengemop lantai untuk membersihkan kediaman manakala sang ibu sibuk memasak nasi kuning untuk dimakan bersama lauk yang sudah disediakan.

Perakam video turut memperlihatkan makanan lain yang turut dihidangkan seperti ketupat dan juga mi soto untuk dinikmati seisi keluarganya sahaja memandangkan tiada tetamu datang ke rumah pada hari itu.

Tular di media sosial, perkongsian tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 2.3 juta tontonan bersama 365,000 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya mengakui terharu ketika menonton video itu.

Ramai juga pengguna terutamanya masyarakat bukan Muslim turut berkongsikan pengalaman peribadi yang mana ahli keluarga mereka turut membuat persiapan raya untuk menyambut Aidilfitri bersama.

“Weh! Seronok dan terharu apabila tengok orang yang bukan Muslim juga sambut Hari Raya. Selamat Hari Raya semua!,” kata seorang pengguna yang merasa senang melihat semangat keluarga tersebut.

“Keluarga besar Kristian saya juga menyambut hari raya malah rela memohon cuti sebab pembantu ibu saudara kami Jawa Muslim. Jadi kami yang raikan dia. Muslim itu seorang sahaja tetapi yang Kristian mahu 30 orang ikut menyambut raya juga.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: “7 tahun kahwin, anak tak pernah merasa duit raya, tapi suami boleh bagi 10 anak buah dia RM50 seorang”