Seorang wanita bergelar ibu berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini selepas memuat naik gambar dan video memaparkan menu makanan yang dijual di sekolah anaknya.
Meluahkan rasa terkejut, wanita terbabit tidak menyangka bahawa hidangan yang dijual di kantin berkenaan terlalu sedikit jika dibandingkan dengan harga perlu dibayar oleh murid iaitu RM3.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh ibu terbabit di platform X, kuantiti dua hidangan iaitu mee goreng dan kuetiau goreng dijual di kantin berkenaan sememangnya terlihat sedikit.
Walaupun anaknya membawa bekal makanan sendiri setiap hari ke sekolah, namun wanita berkenaan tetap meluahkan rasa bimbang dan simpati terutama dengan nasib murid lain.
“Menu dekat kantin sekolah anak saya, bayar RM3 dapat macam ini. Mula-mulanya, tak rasa apa sebab anak saya memang bawa bekal hari-hari. Tetapi terfikir pula anak orang lain, kasihan pula.
“Mengikut pendapat saya, memang tak setimpal kuantiti makanan dengan harga. Kamu semua pula rasa macam mana? Warung yang saya biasa makan sarapan pagi pun dapat hidangan meriah juga dengan harga RM3.
“Saya tidak berbohong, tak dapat apa-apa pun. Saya intai juga nasi lemak ayam di kantin ini, nampak sedih sangat. Nasi, sambal dengan ayam ‘popcorn’ dijual dengan harga RM5,” kesal ibu berkenaan.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna bersetuju dengan pendapat wanita terbabit bahawa kuantiti makanan sememangnya tidak sepadan dengan harga hidangan berkenaan dijual.
Ramai juga pengguna berkongsi pandangan bahawa makanan sebanyak itu mungkin sudah mencukupi untuk kanak-kanak namun harga yang ditawarkan oleh pengusaha kantin perlulah dikurangkan setanding dengan kuantiti.
“Tak bersetuju dengan harga, tetapi mungkin pengusaha kantin letak sedikit sebab budak sekolah makan banyak itu sahaja. Namun jika letak sedikit, harganya juga perlu dikurangkan,” kata seorang pengguna.
“Ingatkan kantin sekolah saya sahaja yang bermasalah, rupanya dekat tempat lain juga sama. Kadang-kadang cikgu juga letih bergaduh dengan orang kantin sebab segelintir dari mereka, besar kepala. Ibu bapa tolonglah suarakan hal ini.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Ingatkan saje nak buat kelainan, rupanya ada kisah sedih disebalik ‘Abang Tingkap’ viral