IFSB akan anjurkan bersama persidangan kewangan Islam di Turki

Oleh ZIKRI ABDULLAH

World Bank Group (WBG), Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan Bahagian Sekretariat Perbendaharaan Turki akan bersama-sama menganjurkan persidangan mengenai “Merealisasi Nilai Industri Takaful Bagi Sistem Kewangan yang Stabil dan Inklusif” pada 30-31 Mei ini di Istanbul, Turki.

Persidangan itu bertujuan untuk menyediakan platform kepada pengamal global dan pihak berkepentingan dalam industri Takaful (insurans Islam) untuk membincangkan isu-isu baru muncul terpilih, demikian menurut IFSB dalam satu kenyataan hari ini.

“Perbincangan dalam persidangan itu akan meliputi tinjauan industri Takaful dan potensinya dalam meningkatkan liputan risiko isi rumah dan korporat, peranannya sebagai alat untuk rangkuman kewangan serta menyokong pertumbuhan industri kewangan Islam di peringkat global.

“Persidangan itu juga akan termasuk perbincangan mengenai perkembangan yang dibuat dalam rangka kerja perundangan, pengawalan dan penyeliaan bagi sektor Takaful dan Takaful Semula, memberi tumpuan kepada prasyarat dan tadbir urus sektor-sektor ini di peringkat antarabangsa dan negara,” katanya.

Persidangan itu akan bermula dengan perbincangan mengenai keadaan semasa industri Takaful serta perkara berkaitan yang sentiasa berubah daripada undang-undang yang berkaitan dan keperluan undang-undang di pelbagai rantau.

Ia akan berakhir dengan perbincangan panel mengenai potensi yang belum diteroka dalam sektor Takaful dan Takaful Semula serta bagaimana pertumbuhannya boleh menyumbang kepada sektor kewangan Islam yang stabil, inklusif dan berdaya tahan.