IKS Bumiputera perlu manfaat Sijil Halal teroka pasaran dunia

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengusaha Industri kecil dan sederhana (IKS) digesa supaya merebut peluang dalam pasaran halal terutamanya di peringkat antarabangsa dengan mendapatkan sijil halal bagi produk dan perkhidmatan mereka.

Timbalan Presiden Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Naim Mohamad berkata, sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diiktiraf di seluruh dunia boleh dijadikan sebagai platform bagi membina keupayaan untuk meneroka pasaran tersebut.

Beliau yang memetik data daripada Halal Industry Development Coorporation (HDC) berkata, permintaan industri halal antarabangsa cukup besar dengan memberi contoh pasaran industri halal di China sahaja mencecah angka 180 juta orang Islam, India (155 juta orang) dan rantau ASEAN 300 juta.

“Nilai pasaran halal dunia dianggarkan melebihi US$2.3 trilion setahun bagi memenuhi keperluan penduduk beragama Islam seluruh dunia yang dianggarkan berjumlah 1.8 bilion orang,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama hari ini.

Naim berkata bagi tempoh jangka masa panjang, pengusaha IKS bumiputera tidak boleh mengekalkan kebergantungan terhadap pasaran tempatan sebaliknya perlu melihat potensi pasaran yang lebih luas dengan menembusi pasaran antarabangsa.

“Kesedaran terhadap produk halal bukan hanya di negara yang majoriti beragama Islam, sebaliknya negara-negara seperti Jepun, Korean Selatan dan New Zealand juga telah mula berminat untuk medapatkan produk makanan halal termasuk produk-produk kosmetik, perubatan dan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata Jepun yang bakal menjadi tuan rumah temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, semakin mendekati industri halal sebagai persediaan bagi menyambut ketibaan 30 peratus daripada jumlah keseluruhan atlet dan kontinjen sukan yang beragama Islam serta pelancong dari kalangan negara Islam.

Naim berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta HDC sedang giat berusaha untuk mengenal pasti peluang yang ada di Jepun bagi membawa pengusaha halal tempatan memasarkan produk mereka ataupun melabur di negara matahari terbit itu.

Sementara itu, beliau berkata Perdasama terkilan kerana ada dalam kalangan IKS yang dimiliki usahawan Islam mengambil mudah mengenai kepentingan untuk mendapatkan sijil halal memandangkan statusnya sebagai penganut agama Islam.

“Logo halal Jakim tidak ada kaitan dengan pemilik produk tetapi logo tersebut adalah satu pengiktirafan bahawa produk tersebut ‘Toyyiban’ (sesuatu yang diurus dengan baik) merangkumi aspek kebersihan, mutu pengurusan dan patuh Shariah,” jelasnya.