Pengarah Operasi Ilham Centre, Mohd Azlan Zainal berkata, pihaknya mengakui terkhilaf dan mengambil tanggungjawab atas data dan pelaporan yang dibuat berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang berlangsung semalam.
Namun katanya, data dan pelaporan dibuat di lapangan oleh pihaknya mematuhi disiplin dan metodologi kajian.
“Isu PSS adalah isu pokok dan begitu signifikan kepada PRK ini. Semua angkubah-angkubah yang utama telah dikenalpasti dan disenaraikan. Ia terus bergerak hingga ke penghujung dan membentuk penolakan berimpak terhadap isu ini.
“Signifikan isu ini persis seperti isu subsidi petrol bersasar (PSP) yang perlu kembali kepada penerangan, pencerahan dan persediaan yang ampuh sebelum dilaksanakan. PSS ini wajar dinilai kembali dan dikaji lebih teliti,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Apapun jelasnya, peramalan (jangkaan) tetap perlu dibuat untuk menjustifikasikan PRK kali ini. Itulah yang paling sukar kerana ia memerlukan keberanian dan mempertaruhkan reputasi firma beliau.
“Namun kami memilih untuk tidak berganjak kerana semua elemen itu telah kami garap sebaiknya setelah mempertimbangkan sebarang bentuk kebarangkalian yang mungkin terjadi.
“Pembolehubah PRK kali ini begitu rencam tidak semudah meramal siri PRK sebelum ini ditambah demografi pengundi yang sama sekali tidak seperti Semenanjung.
“Faktor calon, isu, jentera, kebolehan peralihan undi atas faktor yang lain seperti PPBM-PHRS, isu nasional, isu lokal, kempen, jentera, Anifah Aman dan lain-lain,” katanya.
Kata beliau, Warisan gagal menjelaskan isu PSS secara struktural dan komprehensif dan ia membesar di saat akhir.
BN sebaliknya kata beliau, berjaya menjadikan ia sebagai titik fokus serangan bagi mengekalkan momentum meraih undi (undecided voters) yang masih berbaki sekitar 8-10%.
Keputusan semalam membuktikan BN berjaya merebut undi ini. Sekalipun berjaya, sifatnya masih kekal rapuh (fragile) dan boleh berubah pada bila-bila masa, katanya.
“Sebagai parti lokal sememangnya Warisan tetap punya kelebihan pada awalnya. Akan tetapi jentera Warisan pada pusingan akhir tidak kelihatan, sambil lewa dan tampak selesa.
“Menuju saat pembuangan undi, motivasi jentera BN menaik, lebih solid dibantu oleh NGO-NGO tempatan terutama dalam mengolah isu PSS. Dalam isu ini Warisan seolah-olah defensif dan jentera PH seolah-olah terbatas.
“Maka, yang kalah wajar bermuhasabah dan yang menang teruslah berkhidmat. Rakyat adalah tuan yang perlu diberikan keutamaan,” kata beliau.
Sebelum ini Ilham Centre dalam dua laporannya membuat rumusan BN akan tewas di Kimanis antara lain menurut mereka disebabkan iklim politik yang berbeza di Sabah.
Mereka menyimpulkan bahawa isu-isu seperti sentimen Melayu-Islam, semangat peyatuan ummah dan muafakat nasional yang menyumbang kepada kemenangan BN di Semenanjung tidak relevan di Kimanis.