“Ingat hidup selesa dapat suami ‘anggota’, sekali semua benda aku kena tanggung”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka, sang suami yang mencari rezeki sebagai anggota badan beruniform rupanya mempunyai masalah disiplin.

Menerima ujian berat selepas hampir sembilan tahun berkahwin, wanita yang dikenali sebagai Hawa itu nyaris berhenti berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya.

Bayangkan, suami Hawa yang sudah berkhidmat selama 17 tahun itu tiba-tiba gagal di dalam ujian air kencingnya hingga menyebabkan lelaki tersebut hilang pekerjaan.

Sudahlah segala perbelanjaan rumah ditanggung oleh Hawa, kehilangan pekerjaan suaminya itu malah semakin menambahkan beban dalam kewangan wanita terbabit.

Hanya mampu berdoa supaya diberikan petunjuk dari Ilahi, berikut kami kongsikan luahan hati Hawa mengenai penderitaan yang dialaminya selepas berumah tangga.

“Nama aku Hawa (bukan nama sebenar), umur awal 30-an. Suami aku pula usianya di pertengahan 30-an. Kami berkahwin hampir sembilan tahun dan dikurniakan tiga orang anak. Dua sedang bersekolah rendah, manakala seorang lagi masih kecil. Aku berasal dari selatan dan bekerja di negeri kelahiran di sebuah syarikat swasta. 

“Ibu dan ayah aku masih ada dan tinggal di negeri yang sama. Suami pula asal dari utara tetapi bekerja di sini juga. Aku bercerita bukan niat untuk mengungkit jasa pada suami. Cuma tertanya-tanya, aku ini isteri yang bodoh ke? Ceritanya bermula selepas suami kantoi ujian bekerja di tempat kerjanya. Suami merupakan seorang anggota.

“Suami sudah berkhidmat hampir 17 tahun. Suami sangkut air kencing sebab ketum. Waktu itu, dia dalam kursus untuk kenaikan pangkat. Selepas sebulan, dia tiba-tiba balik rumah dengan bawa baju dan semua barangnya sekali. Aku terkejut. Terkedu walau dalam hati tergerak yang dia ada buat kesalahan besar.

“Mana tidaknya, sampai kena hantar balik. Sedangkan kursus suami lagi dua bulan baru tamat. Suami ajak aku masuk bilik. Sebab anak-anak ada juga masa itu. Suami melutut minta maaf. Menangis teresak-esak. Beritahu aku yang dia kantoi sebabkan ketum. Kemungkinan kena berhenti kerja. Allahuakbar, aku hilang kata-kata.

“Kepala aku juga berpusing masa itu. Teringatkan muka anak-anak. Aku diamkan diri buat sementara waktu. Aku banyak salahkan diri sendiri. Aku tahu dia ambil barang terlarang itu. Sebelum ini aku banyak kali marah, nasihat. Tetapi masih tak berubah. Aku rasa bersalah sebab tak mampu ubah suami sebagai seorang isteri.

“Aku juga tak mampu nasihatkan suami sampai berubah. Selepas dua, tiga hari aku mula positif. Rezeki bukan dekat situ sahaja. Insya-Allah, ada rezeki lain yang Tuhan akan berikan. Aku yakin dengan perkara itu dan memutuskan untuk memaafkan. Dia berjanji nak berhenti minum ketum. Aku cari doktor pakar untuk rawat ketagihannya.

“Aku sanggup belikan ubat untuk suami. Satu strip RM42 ye. Semua duit aku. Sebab aku nak sangat dia berubah. Masa itu tak kisah, biar aku tak ada duit. Janji ubat itu sentiasa ada untuk dia. Suami mula berubah. Aku bersyukur sangat. Allah tarik satu nikmat tetapi digantikan dengan benda yang paling buat aku gembira.

“Suami mula solat. Pergi surau dan masjid. Selepas selesai, dia akan mengaji. Tetapi, semua perubahan itu hanya sekejap sahaja. Bila nampak perubahan, aku diam-diam beli alat ujian kendiri untuk ketum. Sebelum uji air kencing, aku periksa telefon suami. Waktu itu di awal pagi, dia masih tidur. Hasilnya, Aku betul-betul kecewa.

“Sudahlah kerja tiada. Dia boleh main judi, layan video tidak senonoh pula. Kecewa sangat, aku sedih. Terus kejut dia, tanya kenapa buat semua ini. Dia nafikan. Kalau bukti ada di depan mata, celah mana nak nafikan lagi. Aku terus suruh suami buat ujian air kencing. Allahuakbar, positif. Lagilah buat aku betul-betul kecewa.

“Aku sudah buat sehabis baik untuk suami berhenti ketagihan ketum. Aku menangis semahunya. Selepas dua hari, aku duduk berbincang berdua dengan dia. Luahkan semua yang aku rasa. Aku pendam. Mental aku betul-betul penat. Rasa sakit sangat. Hati dan jiwa aku sakit. Dua jam aku bercakap luahkan semua. 

“Suami cuma menangis dan mintak maaf. Akhirnya aku kalah dengan pujuk rayu dia. Silap aku juga masa ini kerana maafkan dia. Aku minta dia berubah. Selepas 10 hari, aku periksa air kencing sekali lagi. Sebab masih rasa tak sedap hati. Dia berikan aku alasan bahawa air kencing akan positif lagi. Sebab konon kesannya sebulan. 

“Aku siap buat carian di Google semua maklumat tentang ketum. Tak sampai sebulan pun kekal. Dia bagi juga air kencing dan keputusannya masih positif. Aku tanya suami bila kali terakhir dia minum. Katanya dua atau tiga hari lepas. Allahuakbar, masih tak berubah. Punya lama aku luahkan perasaan hari itu. Masih lagi ambil ketum. 

“Aku periksa juga transaksi bank di atas talian. Masih ada duit keluar untuk judi. Betul aku kecewa masa ini. Fikirku, cerai sahajalah. Aku rasa sakit menahan perasaan ini. Pedih, sangat-sangat. Aku bawa diri. Kemas baju-baju aku. Suami pula langsung tak bertanya mana aku nak pergi. Aku pergi rumah ibu ayah.

“Aku terpaksa cerita kepada mereka. Sebab aku sudah mula tidak waras. Hampir nak cederakan diri sendiri. Satu malam aku tidur sana. Ibu ayah aku nasihat kalau betul-betul nekad nak berpisah, kena minta dia keluar dari rumah. Sebab rumah itu milikku. Kalau masih nak berbaik, tinggallah di rumah ibu ayah dahulu.

“Kata ayah, dia hanya akan beri nasihat kalau suami cari aku. Mereka tak boleh ikut campur. Ini urusan suami isteri, ibu ayah cuma boleh nasihat. Apa sahaja keputusan, mereka akan sokong aku. Tetapi terlalu marahkan dia. Buat tak tahu sahaja anak nak sekolah di hari pertama, dengan tak tanya aku pergi mana.

“Jadi aku suruh suami keluar dari rumah yang kami duduk. Rumah itu atas nama aku. Seharian juga duduk termenung, kenangkan jasa aku sebagai isteri. Tak cukup baik ke aku. Rasanya sudah banyak tolong suami, tak pernah berkira dengannya. Rumah pun aku bayar guna duit peruntukan isteri. Aku sewa beli bawah kerajaan negeri.

“Murah sewanya. Lagi 10 tahun, Insya-Allah jadi hak milik kekal. Aku memohon dari status masih bujang, sebelum kenal suami. Duit peruntukan aku bayar rumah, bil api dan air. Itu pun kadang-kadang negatif juga duitnya. Kiranya nafkah duit untuk aku memang tiada. Gaji suami bulan-bulan habis tolak segala hutangnya.

“Baki gaji suami ada RM2,000 selepas ditolak hutang LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), peruntukan aku dan mak dia. Tiap kali gaji, dia akan beri aku RM800 untuk duit barang dapur termasuk susu dan lampin anak untuk sebulan serta duit sekolah mereka. Aku tak pernah tanya dia dengan lebihan gajinya.

“Minta duit jauh sekali sebab aku bekerja. Ada duit sendiri. Kadang-kadang, barang basah juga guna duit aku. Setiap hari aku tak pernah lupa sediakan makanan untuk suami. Aku selalu masak. Kalau tak masak, beli makanan di luar. Guna duit aku. Tak pernah pula minta ganti. Duit kereta juga aku bayar termasuklah insuran kenderaan.

“Kos penyelenggeraan tentulah aku yang tanggung juga. Kalau kereta ada masalah, aku yang pergi bengkel sendiri. Jika pergi berjalan atau balik kampung dia, semuanya guna duit aku. Aku tak pernah kisah semua itu, janji anak-anak gembira. Aku seronok juga dapat berjalan sana sini. Cukai dan segala bil rumah dia juga aku yang bayar.

“Sedangkan, kami tak tinggal di rumah itu. Hanya balik sekali sekala. Cukai motosikal suami juga aku kena bayar. Apatah lagi duit yuran dan baju sekolah anak. Baju raya juga duit aku yang keluar termasuklah kelengkapan dan duit raya. Tak cukup baik ke aku? Atau aku isteri yang bodoh? Empat tahun lalu, suami pernah kemalangan.

“Tangan kanan dan kaki kiri suami patah ketika itu. Tisu kaki kanan juga koyak selain tulang pinggul beralih. Lama terbaring. Akulah yang urus, cuci kencing dan beraknya. Sebulan selepas duduk hospital, aku di rumah. Sebelum pergi ke kerja, aku sediakan makanan dan minuman untuk suami di sebelah katil dia. 

“Balik kerja, terus kemas semua kekotoran dan makan minumnya. Masa aku dengan anak-anak memang tiada, kesian mereka. Alhamdulillah, aku ada ibu dan ayah yang banyak membantu untuk jaga anak-anak. Bila suami nak balik kampung, aku hantar sampai ke utara sana. Siang gerak, malam itu juga aku balik sebab tuntutan kerja.

“Anak-anak pula aku jaga. Apabila ingat semua itu, aku terfikir apalah kesalahan diri ini kepada suami. Susah ke dia nak berubah. Besar sangat ke permintaan aku untuk dia tinggalkan benda-benda haram dan membawa kepada kemungkaran. Ini sudah masuk berapa hari tinggalkan rumah, suami langsung tak tanya khabar anak-anak.

“Kesian mereka hari-hari tanya mengenai ayah. Suami cakap dekat ibu mentua, aku yang mahu berpisah. Dia tak fikir ke kenapa aku bertindak seperti itu? Salah aku juga ke bila jadi macam ini. Aku banyak fikir. Macam-macam aku tolong, tetapi kenapalah suami balas dengan layanan seburuk ini.

“Sekarang ini aku hanya berdoa agar Allah tunjukkan jalan yang benar. Apa pun yang berlaku, aku akan cuba berlapang dada. Sekarang ini aku cuma fikirkan anak-anak. Bagaimana mereka dibesarkan kelak. Doakan aku kuat hadapi ujian dan dugaan ini. Assalamualaikum, Hawa (Bukan nama sebenar).” Kongsinya di laman luahan atas talian.

Baca juga: “Suami kantoi curang, aku tenang kumpul bukti dan buat laporan polis, rupanya sebelum kahwin dia pernah langgan GRO”